Rezeki baharu Mia Sara


Mia Sara

SEJAK memilih untuk berhijab, bintang cilik Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan mengakui kurang mendapat tawaran lakonan.

Enggan mengalah, selebriti berusia 11 tahun ini sebaliknya menemui laluan baharu dalam industri seni.

Selain dilantik sebagai duta produk makanan tambahan kanak-kanak, Caliph, Mia Sara Nasuha atau Mia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang fesyen Muslimah menerusi jenama tudungnya, MS Couture.

"Alhamdulillah, selepas setahun beroperasi, MS Couture mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna.

"Buat masa ini, saya mempunyai tiga koleksi tudung iaitu Muna Samiyah, Mahabbah dan Shuhrah khas buat kanak-kanak dan wanita dewasa.

"Kalau tiada aral, saya akan mengeluarkan lebih banyak koleksi tudung kanak-kanak selepas ini,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas pelancaran rancangan bual bicara kanak-kanak, Al Wildan, baru-baru ini.

Namun, atas dasar permintaan dan sokongan daripada peminatnya, pelakon filem Nur Kasih The Movie ini mengambil keputusan untuk menambahbaikkan rekaan pertamanya, Muna Samiyah.

"Hasil perbincangan bersama peminat, kali ini, Muna Samiyah hadir dengan butang di tepi.

"Tetapi, rekaan ini hanya dibuat untuk kanak-kanak dengan menggunakan kain lycra bagi mengelakkan penggunaan jarum yang sekali gus boleh memudaratkan mereka," katanya.

Bukan itu saja, pelakon filem Sekali Lagi ini turut rancak mencari stokis di seluruh negara untuk produk jualan di bawah jenama ini.

Bercakap mengenai penglibatannya sebagai duta jenama Caliph, Mia mengakui menjadi pengguna tegar terhadap jus minuman tersebut.

Katanya, dek yakin dengan keberkesanan produk itu selain mempunyai sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuatkan Mia bersetuju untuk menjadi duta.

"Saya dilantik sebagai duta sejak tahun lalu. Kontrak ini akan berakhir hujung tahun ini. Insya-Allah, jika ada rezeki, pihak syarikat bakal menyambung kontrak tersebut.

"Produk ini khas dikeluarkan sebagai makanan tambahan bagi tumbesaran kanak-kanak seusia saya.

"Sejak saya mengamalkannya, terdapat beberapa perubahan positif dalam diri saya. Caliph bukanlah makanan tambahan biasa, apatah lagi jus Caliph juga sedap diminum," katanya.

Lebih daripada itu, Mia turut bersyukur apabila pengasas produk berkenaan sanggup melancarkan pembungkusan baharu untuk semua produk itu.

Katanya, keputusan itu diambil demi menghormati penampilan Mia yang kini sudah berhijab.

"Ia dilakukan sebagai tanda sokongan mereka terhadap keputusan saya yang dituntut agama, bersesuaian dengan hala tuju syarikat itu yang berasaskan produk pemakanan Islam," katanya.


Jadi pengacara Al-Wildan

Pada masa sama, Mia turut berharap agar penerbit lebih menghormati pendiriannya yang kini tampil berhijab.

Pelakon filem Papa I Love You ini mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran yang menuntutnya untuk berbuat sebaliknya.

"Saya tidak akan sesekali akan menerima tawaran berlakon yang meminta saya untuk tidak berhijab melainkan beberapa program yang sudah ditandatangani, sebelum ini.

"Tidak mengapalah, kalau tawaran berlakon berkurangan kerana saya percaya ALLAH SWT akan memberi rezeki lain kepada saya nanti," tegasnya.

Dalam tempoh terdekat, Mia bakal menjalani penggambaran telefilem Strawberry dan Karipap musim ketiga.

"Kali ini, saya akan ke Hong Kong pula," katanya.

Pun begitu, pengacara Ceria All Stars ini mengakui rezekinya kini lebih terbuka dalam bidang pengacaraan.

Terbaru, Mia tampil dengan Ustaz Rahmat Ikhsan menerusi program bual bicara kanak-kanak, Al-Wildan terbitan stesen televisyen Islamik, TV AlHijrah.

Meskipun teruja, Mia mengakui Al Wildan memberinya satu cabaran baharu sementelahan lagi ia adalah program Islamik pertama yang di acarakannya.

"Al-Wildan merupakan sebuah rancangan yang berusaha menyelami dunia kanak-kanak sekali gus melihat perspektif kehidupan menerusi kaca mata mereka.

"Cabaran utamanya adalah apabila program ini memerlukan saya mengacarakan secara spontan untuk mencari idea dan kreativiti sendiri demi menghiburkan kanak-kanak.

"Nasib baik, Ustaz Rahmat sangat membantu saya ketika mengendalikan bual bicara ini lebih-lebih lagi rekaan permainan untuk kanak-kanak," katanya.

Tambahnya, rancangan Al-Wildan mempunyai empat segmen iaitu Lawatan Sambil Belajar, Jom Jumpa Doktor, Ya Hanana dan Bijak Tani.

"Kanak-kanak diberi peluang menyelami dunia orang dewasa selain melihat pendapat serta reaksi mereka mengenai dunia orang dewasa.

"Bahkan, pada setiap episod tiga kanak-kanak yang berbakat akan dipanggil ke studio untuk membuat persembahan," katanya.

Al-Wildan sebuah rancangan bual bicara kanak-kanak berkonsepkan 'edutainment' menemui penonton setia TV AlHijrah (saluran 114), setiap Sabtu dan Ahad jam 4.05 petang selama setengah jam mulai 12 Mac lalu,

Previous Post Next Post