Richard Marx terbaik!


KALI terakhir penyanyi popular kelahiran Amerika Syarikat (AS), Richard Marx, 53, berkunjung ke Malaysia atas tujuan melakukan konsert ialah pada 2013 di Johor Bahru.

Tahun 2016 mencatat satu lagi momen manis buat peminat tegar pemilik nama sebenar Richard Noel Marx itu apabila berjaya memukau lebih 3,000 penonton dengan persembahan bertenaga dan meninggalkan ingatan indah selama-lamanya.

Persembahan berdurasi selama sejam berkenaan membuktikan usia tidak menghakis pengaruh muzik penggubah lagu Dance With My Father yang pernah memenangi trofi Lagu Terbaik pada Grammy Awards ke-46.

Menariknya, persembahan berstatus full house itu hanya menyaksikan Marx berada di tengah pentas bersama dua buah gitar yang digunakan bersilih ganti, sebuah piano serta berteman sebuah mikrofon utama untuk melantungkan melodi berhantunya. Sesekali dia akan berkomunikasi dengan peminat.

Akustik kelas tersendiri. Itu antara kenyataan yang menjalar dalam kepala. Semakin dia dimamah usia, semakin hebat skil dan keserasiannya bersama muzik tanpa perlu disokong bunyi muzik berat atau angkatan pemuzik profesional seperti lazimnya sebuah konsert.

Memulakan persembahan dengan lagu yang pernah mendaki di tangga nombor dua dalam carta Billboard Hot 100 pada 1988 iaitu Endless Summer Nights, peminat sudah seperti begitu dekat dengan Marx sehingga mendapat pujian berbaur usikan daripadanya yang didahului dengan ucapan ‘terima kasih’ dalam Bahasa Malaysia.

“Mengapa kalian begitu senyap. Kali terakhir saya menjayakan konsert di sini, kalian ternyata bising tidak seperti malam ini. Ayuh, menjeritlah sekuat mana kalian mahukan (ketawa).

“Saya memang sukakan Malaysia. Peminat di sini melayan saya seperti keluarga dan saya sangat terharu dengan penerimaan positif kalian. Terima kasih,” ujarnya.

Selesai dua buah lagu yang dipetik daripada album Rush Street iaitu Take This Heart dan Keep Coming Back berkumandang, Marx sambung membuai perasaan penonton dengan lagu berjudul Now And Forever yang akuinya ditulis buat bekas isteri, aktres Cynthia Rhodes suatu ketika dulu.

Kejituan vokal

Uniknya tentang persembahan Marx di atas pentas berprestij tersebut, setinggi mana pun not lagu yang dinyanyikan, riak wajahnya bersahaja selain tidak pernah sekali pun tertancap mata atau terhinggap di halwa telinga dia cuba mengelat daripada menyampaikan not atau lirik bernada tinggi.


Sebelum memulakan persembahan, Marx memberitahu dia hanya akan menyanyikan lagu-lagu hit yang boleh dinyanyikan bersama penonton, sekali gus memilih untuk tidak menyanyikan banyak lagu daripada album studio terbaharunya, Beautiful Goodbye.

Mark memberi sebuah kekaguman bahawa kejituan vokalnya tidak terusik oleh usia. Mendengar setiap lagu yang didendangkan, ia tidak ubah seperti apa yang telah dipersembahkan di dalam cakera padat (CD) mahupun kaset suatu ketika dahulu.

Berikutnya, Marx mendendangkan lagu popular berjudul Hazard yang mendapat tepukan gemuruh penonton. Seperti ‘misterinya’ lagu tersebut, Marx berkongsi sedikit kisah.

“Lagu ini saya ciptakan mengenai seorang wanita bernama Mary yang mati dibunuh secara misteri di Nebraska. Ramai yang bertanya kepada saya, adakah saya yang membunuh Mary? (tertawa).

“Lagu tersebut terpulang kepada interpretasi masing-masing. Lirik yang dihasilkan adalah sangat kuat,” kata Mark.

Antara persembahan yang paling mencuri tumpuan dapat dirasakan sewaktu lagu Save Me yang dipetik daripada album Emotional Remains disampaikan penuh penghayatan. Menariknya, Marx melakukan persembahan diiringi rakaman muzik daripada ketiga-tiga anaknya iaitu Brandon, Jesse, dan Lucas yang dipancarkan di skrin utama.

Lagu-lagu popular lain yang dinyanyikan Marx termasuklah Turn Off The Night, Dance With My Father Again, This I Promise You, Satisfied, Just Go, Angelia, Don’t Mean Nothing dan Should’ve Known Better.

Seperti kelaziman konsert, Marx akan menghilang buat seketika, namun sebaik namanya diseru peminat memandangkan lagu berhantunya, Right Here Waiting masih belum diperdengarkan.

Duduk di bangku sambil detingan piano dialunkan penuh asyik, penonton seperti disampuk histeria apabila dua tiga not pertama lagu tersebut mula dimainkan Marx.

Komunikasi intim dengan penonton, bergema satu dewan dengan lagu anthem yang turut pernah melayakkan Max dicalonkan dalam kategori Vokal Lelaki Terbaik Grammy Awards 1990.

Cinta, inspirasi

Terdahulu, sewaktu ditemui media tempatan, Marx sempat berkongsi cerita menarik mengenai muziknya dan beberapa pendapat jujur terhadap senario muzik dewasa ini.

Bertemu dengannya di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, dia menjawab beberapa soalan yang diajukan. Mark mengulas tentang inspirasi untuk terus melibatkan diri dalam cabang muzik meskipun senario muzik tidak lagi seperti dahulu.

Ceritanya: “Kalian semua tahu bahawa saya telah berkahwin dengan seorang wanita Latin cantik hujung tahun lalu bernama Daisy Fuentes. Dia merupakan inspirasi kepada saya untuk terus berjuang dalam bidang muzik.


Ketika ditemui media tempatan, Marx memberitahu, dia mengagumi bakat bintang-bintang program realiti seperti Kelly Clakson, Carrie Underwood dan Chris Daughtry. Dia bagaimanapun tidak bersetuju dengan lambakan program realiti nyanyian ketika ini yang disifatkan sebagai berlebihan dan tidak mempunyai kualiti.

“Saya terkejut apabila mendengar lagu di radio, dia tahu semua lagu yang diputarkan. Justeru, dia memberi inspirasi kepada untuk terus berkarya walaupun bukan untuk bersaing dengan penyanyi muda masa kini.

“Saya ingin bikin muzik bukan seperti apa yang menjadi trend, tetapi turut mengambil inspirasi daripada yang terhasil kerana muzik sentiasa mengalami peredaran.”

Ditanya Kosmo! mengenai sokongan dan ‘lampu hijau’ yang diberikan kepada tiga anak lelakinya iaitu Brandon, Lucas dan Jesse, Marx menggelarkan mereka sebagai The Marx Brothers. Berkongsi minat terhadap muzik namun masing-masing berbeza haluan.

“Haluan muzik Brandon lebih kepada elektronik, Jesse pula seperti hendak menjadi penyanyi pop, manakala Lucas cenderung ke arah muzik heavy metal.

“Saya sentiasa menyokong minat. Mereka juga inspirasi kepada saya untuk terus berkarya,” ujarnya.

Diminta memberi komen lanjut mengenai industri muzik hari ini, Marx mencelah dengan mengatakan bahawa dia seperti lebih mengenali keadaan muzik di luar negara lebih baik daripada negaranya sendiri (AS).

“Saya rindukan karya muzik dahulu. Saya rindu untuk mendengar album studio dari mula sehingga habis. Hari ini, saya tidak lagi teruja seperti dahulu.

“Tetapi saya yakin ini sebahagian daripada peredaran muzik. Cuma ia bukan sesuatu yang menepati cita rasa saya sebagai seorang pemuzik,” jelasnya menutup bicara.

Secara keseluruhannya, konsert anjuran The Fat Boys tersebut merupakan sebuah konsert bertaraf antarabangsa yang kualitinya berada pada piawaian tersendiri.

Richard Marx sememangnya penghibur tepat untuk mengisi slot di jiwa peminat yang sentiasa dahagakan konsert akustik yang jarang untuk dinikmati dengan senyuman lebar terukir saat melangkah keluar dari pintu dewan.

Previous Post Next Post