Siti Nurhaliza luas empayar perniagaan


Antara koleksi baju yang dikeluarkan Siti Nurhaliza.

SELEPAS berjaya dengan produk kosmetik, Simply Siti, Datuk Siti Nurhaliza melancarkan pula jenama pakaiannya yang diberi nama Creacion By Siti Nurhaliza.

Menurut Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 37, dia sudah lama menyimpan impian untuk memiliki koleksi dan jenama pakaian sendiri selepas produk kosmetik.

“Sebagai seorang wanita dan pencinta fesyen dan kecantikan, Siti memang sudah lama menyimpan impian untuk memiliki koleksi pakaian sendiri. Kiranya ini impian kedua Siti selepas bidang kecantikan.

“Alhamdulillah menerusi beberapa siri perbincangan bersama pihak Ariani, maka impian Siti akhirnya terlaksana,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Ariani X Siti Nurhaliza, di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.

Selain memperkenalkan koleksi ready-to-wear yang memaparkan imej kasual dan minimal dari Creacion By Siti Nurhaliza, enam koleksi tudung dan pakaian eksklusif bawah label Ariani X Siti Nurhaliza turut diperkenalkan.

Ke semua pakaian dan yang dikeluarkan hasil kolaborasi bersama Ariani dengan kerjasama Jakel.

“Koleksi yang dihasilkan tampil dengan sentuhan tiga elemen utama yang merangkumi exclusivity, modesty dan contemporary.

“Siti juga memilih rekaan yang tidak terlalu sarat dan kasual serta corak fabrik adalah eksklusif pilihan saya sendiri yang mana sesuai digunakan untuk aktiviti seharian.

“Koleksi pakaian tersebut direka khusus untuk semua golongan wanita sama ada berhijab ataupun tidak.

“Malah, wanita bertubuh gempal juga boleh bergaya dengan jenama terbabit dengan menyediakan pelbagai, saiz sehingga XXXL.

“Kesemua koleksi tersebut dijual dengan harga mampu milik untuk semua golongan masyarakat dengan kualiti yang tinggi,” ujarnya.

Di tanya mengenai pemilihannya untuk kolaborasi dengan Ariani, Siti berkata, dia sememangnya mahu mencari sebuah syarikat yang pakar tentang selok-belok perniagaan tekstil.

“Tidak dinafikan ada yang bertanya kenapa Siti tak buat semuanya sendiri dan memilih untuk bekerjasama dengan Ariani.

“Jawapannya kerana Siti tidak mahu pening kepala (ketawa). Siti tidak tahu mengenai jenis-jenis fabrik dan bagaimana perjalanan tentang bisnes pakaian ini, jadi Siti memerlukan mereka yang pakar.

“Apabila saya beri bayangan mengenai jenis fabrik bagaimana yang saya mahu, mereka terus bawa fabrik yang Siti bayangkan dan secara tidak langsung ia memudahkan kerja Siti,” jelasnya.


Dalam pada itu, di soal mengenai kemungkinan hasil kerjanya ditiru dan kebarangkalian akan ada pihak yang mengeluarkan barangan tiruan Creacion By Siti Nurhaliza, Siti berkata, dia percaya peminat dan pembeli bijak dalam membuat pilihan.

“Siti menggunakan fabrik berkualiti untuk menghasilkan produk ini dan Siti percaya pelanggan bijak untuk membuat pilihan.

“Malah sebelum ini, Siti juga ada berbincang dengan pihak Ariani tentang masalah barangan tiruan dan mereka yakin tidak akan berhadapan dengan masalah serius.

“Jika sedikit tidak mengapa kerana mereka faham ada peniaga yang mahu mencari rezeki juga,” jelasnya lagi.

Tambah Siti enam koleksi tudung dan selendang serta beberapa koleksi pakaian sudah boleh didapati di Jakel Mall, sejak Jumaat lalu.

Kembali menjadi juri

Biarpun pernah menyuarakan hasrat untuk berehat seketika dari industri seni, Siti tetap menjalankan aktiviti seni mengikut kesesuaian.

Menurut Siti, buat masa ini dia hanya memberi tumpuan kepada aktiviti seni kecil seperti menjadi juri program TV.

Katanya selain dari itu, dia juga sibuk dengan latihan menjelang Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends April depan.

“Memang Siti ada kata nak berehat, tapi tawaran menjadi juri Ceria Popstar ini datang sebelum Siti hamil lagi.

“Jadi Siti rasa tidak salah untuk teruskan, kerana selain melayan kerenah anak-anak berbakat besar ini, dapat jugalah Siti berkongsi ilmu.

“Selain menjadi juri Ceria Popstar, Siti juga menjadi juri untuk program Akademi Silat Pendekar Muda. Bagaimanapun kerana kekangan jadual, Siti hanya terlibat untuk dua episode sahaja,” katanya.

Previous Post Next Post