Zizan Razak: Saya dan Vie hanya kawan


Zizan mengakui berkawan rapat dengan Vie tetapi lebih kepada perihal membincangkan urusan bisnes.

Gosip percintaan di antara pelakon popular Zizan Razak dan bekas isteri pelakon Datuk Eizlan Yusof, Vie Shanti Harun akhirnya terjawab secara seimbang. Berselang beberapa minggu selepas usahawan wanita tersebut menafikan spekulasi yang bertiup kencang, Zizan pula membuka mulut menafikan adanya hubungan cinta di antara mereka sebagaimana diperkatakan ramai.

Tidak mahu dituduh cuba melarikan diri daripada memberikan kenyataan berhubung gosip tersebut, Zizan yang ditemui media pada majlis pelancaran filem Bikers Kental 2 di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini, mengakui pernah keluar menonton wayang bersama wanita tersebut namun bukanlah secara berdua-duaan.

Katanya, hubungan dengan Vie sekadar kawan dan pertemuan mereka sebagaimana yang dihebohkan sebelum ini hanya berlandaskan urusan perniagaan yang diusahakan.

Zizan turut berkongsi keterujaan untuk menjalani penggambaran filem Bikers Kental 2 yang turut dibintangi pelakon handalan lain seperti Awie dan Adlin Aman Ramli.


ARTISMELETOP!: Boleh Zizan jelaskan status sebenar hubungan dengan Vie?

ZIZAN: Sebenarnya, saya tidak mahu komen lanjut tentang hal tersebut. Vie telah menjelaskan hal itu di laman Instagram miliknya. Sebagaimana yang telah ditulis olehnya, seperti itu jugalah penjelasan daripada saya. Hubungan kami tidak lebih daripada rakan perniagaan. Kami hanya berkawan dan kalau kami berjumpa pun, ia cuma atas urusan perniagaan.

Bagaimana dengan khabar angin mengatakan bahawa kalian pernah keluar menonton wayang bersama di Damansara baru-baru ini?

Ya, memang benar kami keluar bersama. Tapi bukan berdua-duaan seperti didakwa segelintir pihak. Dia ditemani keluarganya dan saya juga begitu. Saya pun pernah keluar menonton wayang dengan wanita lain tetapi itu tidak bermakna saya sedang menjalinkan hubungan dengan mereka (ketawa).

Adakah disebabkan kegagalan cinta terdahulu membuatkan anda kini tidak terbuka untuk bercakap tentang percintaan?

Bukan begitu. Kalau betul, saya tidak akan menyembunyikan tentang hal itu (cinta). Masalahnya, sekarang memang saya tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa dengannya (Vie). Dia juga telah mengaku hal yang sama. Seperti yang saya katakan tadi, hubungan kami hanya kawan dan komunikasi lebih terarah soal bisnes.

Bisnes apakah yang anda dan Vie sedang usahakan?

Nantilah. Saya tidak boleh beritahu sekarang kerana ia masih dalam proses perbincangan. Kalau ada nanti, saya akan hebohkan. Insya-Allah.


SELEPAS Vie menafikan gosip percintaannya dengan Zizan tempoh hari, kini Zizan pula berbuat demikian dengan menafikan perkara sama. Hubungan mereka tidak lebih sekadar rakan perniagaan.

Dengan tercetusnya spekulasi percintaan kalian, adakah anda sememangnya menginginkan wanita yang lebih matang (berusia) untuk dijadikan teman hidup?

Bukan begitu. Saya okey sahaja berkawan dengan sesiapa pun bukan sebab seseorang itu muda atau sudah berusia. Jodoh itu rahsia yang Allah simpan. Saya yakin, suatu hati nanti akan ada jodoh yang sesuai untuk saya dan pada ketika itu, saya tidak akan bersembunyi daripada bercerita tentangnya. Buat masa ini, memang tiada hubungan istimewa di antara kami.

Baiklah, boleh ceritakan keterujaan untuk kembali ke lokasi penggambaran filem Bikers Kental 2?

Ya, saya memang tidak sabar untuk kembali berlakon bersama Awie dalam filem yang akan memulakan penggambaran pada 12 Mac nanti. Mengikut perancangan, kami akan menjalani penggambaran selama 35 hari, lima hari di Malaysia dan 30 hari di Thailand. Ia merupakan kesinambungan filem Bikers Kental pertama. Saya akan melakonkan watak sebagai Bidin, manakala Awie pula sebagai Eddie. Bagaimanapun, mungkin ada penambahan dan perubahan untuk watak yang lain.

Mengenai bisnes, bagaimana perkembangan kedai serbaneka 24 jam, Zizan Mart ketika ini?

Alhamdulillah, semakin baik. Masih dalam perancangan untuk menubuhkan beberapa cawangan di negeri lain pula selepas ini. Insya-Allah.

Melihat kepada kerjaya seni anda yang lebih menjurus kepada filem, anda memang sudah tidak mahu berlakon drama atau bagaimana?

Bukan begitu, saya tetap akan berlakon dalam drama. Cuma, saya mahukan watak yang sesuai dengan saya. Lagipun, kebanyakan tawaran berlakon drama tidak kena dengan jadual seni saya, ia membuatkan saya terpaksa menolak kerana takut tidak dapat memberikan komitmen secukupnya.

Previous Post Next Post