Semakin mendapat perhatian menerusi lagu #GYKT atau Gadis Yang Ku Tunggu, laluan Amir Hasan semakin terbuka untuk bertapak dalam industri muzik tempatan.
Amir, 23, yang memulakan karier tahun lalu nekad berjuang membina nama walaupun dengan lambakan penyanyi baharu sekarang.
Matlamatnya untuk merealisasikan impian menjadi penyanyi disegani satu hari nanti. Dia tidak menafikan sebelum ini terpinga-pinga dengan hala tujunya sebagai penyanyi. Bagaimanapun, ketika ini hala tuju muziknya semakin jelas dan Amir perlahan-lahan membentuk identiti nyanyiannya.
“Sebelum ini saya keliru bagaimana nada suara dan pembawaan karakter diri yang tepat untuk saya. Lantas, ia memberikan kesan kepada hala tuju saya sebagai artis dan sampai sekarang masih tercari-cari.
“Bagaimanapun, saya sedar hala tuju semakin jelas sewaktu menghasilkan lagu #GYKT apabila prosesnya agak mencabar juga. Empat hari saya menangis disebabkan sukar untuk mencari nada yang terbaik untuk nyanyian lagu itu.
“Bagaimanapun, ternyata menerusi lagu yang diterbitkan bersama Aizat Amdan dan Taja itu, saya berjaya memberikan nyanyian sesuai dengan jiwa. Nampak sangat kematangan dari segi itu berbanding menghasilkan lagu Bicaramu sebelum ini,” katanya.
Amir mengakui untuk mencapai tahap sekarang, dia berdepan tekanan peribadi dan bergelut dengan perasaan sendiri.
Dia seboleh-bolehnya tidak mahu menghampakan sesiapa juga terutama orang terdekatnya yang tidak henti memberikan kata semangat.
“Tentu sekali orang terdekat saya mahukan yang terbaik daripada saya sebagai penyanyi. Saya tahu itu tanggungjawab yang sangat besar untuk dipikul dan seboleh-bolehnya saya mahu penuhi harapan mereka.
“Pada masa sama, saya pun berdepan konflik dengan diri sendiri apabila sentiasa keliru dengan nada suara. Saya benar-benar mahu tampil dengan suara yang akan menyerlahkan dan membezakan Amir Hasan dengan penyanyi lain,” katanya.
Untuk itu, Amir enggan ambil mudah kerjayanya sekarang apalagi semakin meraih pengikut.
Katanya, dia kini perlu salurkan sepenuh tenaganya dan bekerja keras demi mengukuhkan jenamanya dalam industri muzik.
“Memang saya bekerja keras bagi menghasilkan #GYKT. Seboleh-bolehnya semua yang saya lakukan adalah yang terbaik demi memastikan keberhasilan usaha itu.
“Bukan saja menerusi lagu itu sendiri, untuk video muzik pun saya pastikan mencapai tahap kualiti yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Amir tidak mahu memikirkan sangat mengenai senario penyanyi sekarang mudah mencipta nama menerusi media sosial.
Baginya, dia berpegang kepada prinsip kualiti bakat adalah kunci utama kejayaan.
“Semua itu terpulang kepada rezeki masing-masing. Namun, saya lebih memilih untuk fokus kepada bakat yang ada.
“Saya mahu memastikan orang mengenali saya daripada kualiti terutama pada penghasilan karya. Saya akan tetap teguh untuk hasilkan lagu yang berkualiti dan bukannya mengejar lagu hit segera,” katanya.
Dalam pada itu, Amir tidak menolak mahu melebarkan sayap dalam pelbagai cabang bidang seni selepas ini. Bahkan, baginya bidang seni sentiasa terbentang luas untuk diterokai.
“Kenapa tidak? Cita-cita saya adalah untuk menjadi seperti Alif Satar yang sangat ‘versatile’ sebagai seorang anak seni.
“Selain mahu jadi komposer, saya juga menyimpan hasrat menceburi bidang pengacaraan dan lakonan. Saya tahu saya tidak pandai sangat dalam bidang itu namun tidak menolak jika ada peluang datang,” katanya.