Berbasikal hobi baharu Siti Nurhaliza




Selepas selesai penganjuran konsert jelajahnya di tiga buah negara, jadual karier seni penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza masih padat dan tidak pernah kosong daripada pelbagai aktiviti.

Terbaharu, pelantun lagu Anta Permana itu akan terlibat dalam acara Makan Malam Amal sempena Karnival Mahabbah 1.0 yang akan berlangsung pada 24 April ini di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak.

Karnival yang berlangsung selama lima hari dari 24 hingga 28 April itu merupakan anjuran Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh, Perak dengan objektif mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan masjid dan aktiviti sepanjang bulan Ramadan nanti.

Ikuti temu bual bersama penyanyi berusia 40 tahun itu ketika ditemui pada sidang akhbar Karnival Mahabbah 1.0 yang diadakan di Hotel The Pearl, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Boleh Datuk Seri jelaskan tentang penglibatan dalam Karnival Mahabbah 1.0?

SITI NURHALIZA: Karnival ini akan berlangsung selama lima hari, tetapi saya terlibat pada 24 April iaitu sempena acara makan malam amal. Saya anggap ini adalah kesempatan terbaik untuk bertemu peminat di bahagian utara. Banyak aktiviti bermanfaat sepanjang karnival berlangsung dan saya berharap agar makan malam amal ini mendapat sambutan.

Apakah corak persembahan anda untuk majlis makan malam tersebut?

Sesuai dengan penganjuran karnival, corak persembahan saya nanti berkonsepkan kerohanian atau lagu yang mengandungi mesej baik. Tidak kira genre apa pun, asalkan berunsur ketuhanan supaya saya dapat variasikan persembahan. Selain saya, kumpulan Hijjaz juga akan turut serta dalam majlis tersebut.

Boleh komen tentang kenyataan penganjur karnival yang mengatakan golongan agamawan juga meminati anda?

Alhamdulillah, syukur dan satu keberkatan apabila saya dihargai oleh insan yang digelar alim ulama. Memang saya mahukan perkara yang baik-baik. Disayangi ramai orang adalah satu hadiah istimewa. Justeru, saya harap dapat memberi semula dengan cara terbaik.

Adakah anda berasa lega apabila dihargai dan disukai kerana kebiasaannya ramai yang memandang serong terhadap golongan artis?

Sejujurnya saya tidak pernah pun memandang negatif pada golongan artis. Insan seni juga manusia biasa, manakala para alim ulama adalah golongan yang kita sanjungi.

Masing-masing ada peranan dan kita perlu menghormati orang lain kerana itu apa yang diajar dalam Islam. Jangan pandang rendah atau negatif pada artis mahupun alim ulama. Bukan saya seorang yang disukai, ramai lagi artis lain yang disukai alim ulama kerana membawa imej baik. Cuma bagi saya, kita harus panggil mereka untuk sama-sama terlibat ke arah ini.

Kebelakangan ini anda kerap melakukan aktiviti berbasikal, boleh kongsikan tentang perkara itu?

Sebenarnya sudah lama saya berbasikal iaitu sejak zaman remaja lagi. Cuma sekarang saya kembali melakukannya kerana sudah menjadi seperti satu hobi bersama suami.

Selain untuk menjaga stamina, aktiviti ini juga sebenarnya mengeratkan hubungan dengan orang lain. Sukan ini turut memberi kepuasan sebab saya suka berbasikal di dua lokasi iaitu di Putrajaya dan Hulu Langat yang memberi suasana berbeza. Sewaktu berbasikal juga saya dapat rasakan kebebasan dan menjadi diri sendiri bukannya seorang artis.

Boleh kongsikan perancangan karier anda sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi?

Insya-Allah, saya akan meluncurkan single terbaharu tidak lama lagi. Single tersebut merupakan projek daripada Universal Music dan Apple Music dengan menggabungkan tiga penyanyi dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Apa yang boleh dikongsikan adalah single berkenaan merupakan sebuah lagu kerohanian dan jika tiada aral kami akan masuk ke studio pada pertengahan bulan ini.


Previous Post Next Post