Nubhan Ahmad tembusi pasaran Indonesia




Kembali aktif dalam bidang seni, Nubhan Ahmad mengatur langkah dengan menjalin kerjasama bersama sebuah band Indonesia untuk single terbaharunya.

Penyanyi Nubhan sudah bersedia untuk kembali aktif menyanyi selepas empat tahun berehat daripada bidang seni kerana memberi fokus terhadap perniagaan yang diusahakan.

Terdahulu pada Oktober tahun lalu, pemilik nama lengkap Ahmad Nubhan Ahamad itu telah muncul dengan single terbaharu berjudul Selamat Jalan Cinta.

Bagaimanapun, disebabkan tempoh berehat yang lama sebelum ini memberi cabaran buat Nubhan untuk kembali memahatkan namanya dalam industri muzik.

Bersedia untuk kembali sibuk, penyanyi berusia 33 tahun itu kini merangka strategi tersusun untuk memacu landasan kariernya pada tahun ini.

Ikuti penjelasan penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu ketika ditemui baru-baru ini.

Agak lama tidak mendengar berita Nubhan. Apa khabar anda sekarang?

NUBHAN: Alhamdulillah kehidupan saya baik sahaja bersama keluarga dan perniagaan yang diusahakan. Cuma sekarang saya dapat menarik nafas lega kerana perniagaan sudah stabil dan kehidupan tidaklah terlalu sibuk seperti dahulu. Justeru, saya boleh seimbangkan antara perniagaan dan karier nyanyian. Insya-Allah fokus saya kini adalah untuk kembali aktif dalam bidang seni.

Ramai yang beranggapan status selebriti memudahkan golongan seperti anda menceburi bidang perniagaan. Boleh komen?

Sebenarnya ada pro dan kontra dalam hal ini. Jika diteliti bukan semua selebriti berjaya dalam perniagaan yang diceburi. Berdasarkan pengalaman sendiri, perniagaan yang saya jalankan tetap gagal meskipun ketika itu saya masih dikenali ramai. Oleh yang demikian, tidak boleh anggap golongan selebriti bergantung kepada populariti untuk berjaya dalam perniagaan. Kejayaan hadir atas usaha, ilmu dan keberanian mengambil risiko mencuba sesuatu perkara baharu.

Boleh kongsikan pengalaman yang dilalui sepanjang menjalankan perniagaan?

Produk Juwita Divine merangkumi set kecantikan adalah perniagaan kelima yang saya usahakan. Sebelum ini saya pernah gagal sebanyak empat kali. Termasuklah pernah ditipu sehingga rugi puluhan ribu ringgit. Kegagalan membuatkan saya tidak berputus asa dan terus mencuba tanpa henti. Alhamdulillah sekarang perniagaan yang dibina sudah stabil.

Apakah strategi anda untuk kembali aktif dalam bidang seni?

Sebenarnya saya telah kembali menyanyi sejak tahun lepas dengan melancarkan sebuah single berjudul Selamat Jalan Cinta. Namun, disebabkan saya berehat panjang, mungkin ramai telah terlupa akan kewujudan saya sebagai penyanyi.

Faktor itu juga membuatkan lagu saya kurang mendapat sambutan. Bermula April ini, saya akan kembali mempromosikan lagu tersebut sekali gus melancarkan sebuah single baharu. Menariknya single tersebut merupakan lagu duet bersama sebuah band dari Indonesia.

Boleh jelaskan lebih lanjut tentang single baharu tersebut?

Sebenarnya saya dilamar oleh pihak dari Indonesia untuk menjalin kerjasama menerusi single tersebut. Peluang sebegini tidak datang bergolek, jadi saya sangat teruja menantikan hasilnya. Lagu tersebut masih menggunakan khidmat komposer daripada lagu Selamat Jalan Cinta iaitu Merak Bersyair, manakala lirik pula oleh Becky Zulkifli.

Bagaimana dengan kehidupan peribadi anda sekarang?

Semuanya baik-baik sahaja. Memandangkan sudah kembali aktif dalam dunia seni, saya kini dalam perancangan untuk membuka sebuah klinik gigi untuk isteri, Afifah Hidayah Taufek yang merupakan seorang doktor gigi. Tujuan saya hadiahkan isteri sebuah klinik adalah untuk memberi kelonggaran dari segi masa. Ditambah anak juga sudah dua, jadi isteri perlukan masa yang fleksibel supaya dapat memberi lebih tumpuan kepada keluarga.


Previous Post Next Post