Peribadi seni Scha Alyahya




Scha sering diundang ke luar negara mewakili Malaysia ke acara fesyen antarabangsa.

Sejak kebelakangan ini semakin jarang melihat kelibat Scha Alyahya berlakon atau mengacara di kaca televisyen. Sebaliknya wanita tinggi lampai ini persis duta kecil Malaysia dalam lapangan fesyen apabila kerap terbang ke luar negara memenuhi jemputan ke acara-acara fesyen elit melibatkan jenama terkemuka dunia seperti Fendi, Bvlgari dan Gucci.

Biarpun ramai cemburu dengan pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya itu kerana sering menjadi antara orang pertama yang menyaksikan fesyen terbaharu jenama terkenal dunia, tuah tersebut bagaimanapun hadir dengan pengorbanan besar iaitu karier seninya.

“Bukan tidak mahu lagi berlakon atau mengacara, tetapi saya sering ke luar negara menghadiri acara fesyen mewakili Malaysia. Disebabkan itu, saya tidak mahu menyusahkan produksi kerana tidak boleh memberikan komitmen sepenuhnya.

“Bagaimanapun, untuk terus relevan dalam industri lakonan dan pengacaraan, saya perlu muncul di televisyen serta ruangan media. Saya tidak mahu peminat lupa bahawa saya adalah seorang pelakon dan pengacara,” kata Scha.

Melanjutkan bicara, isteri kepada Awal Ashaari itu tidak menafikan dia selalu berasa gementar untuk berhadapan dengan orang luar andai diberi peluang dan kepercayaan mewakili Malaysia ke acara fesyen.

“Mewakili Malaysia memang membuatkan saya gembira dan bangga, namun pada masa yang sama saya sebenarnya gementar.

“Saya susah untuk diajak berbual kerana bersikap introvert (susah bergaul). Suka atau tidak, saya tetap perlu berbual dengan orang jika menghadiri acara fesyen dan menganggapnya sebagai cabaran.

“Apa yang mengejutkan, orang Barat sangat peramah dan mereka memang tidak berhenti bercakap. Di situ, saya belajar sesuatu dan memperbaiki kelemahan diri. Tahap peramah orang Barat adalah saya pernah dipeluk secara tiba-tiba oleh pelakon filem Gone Girl, Rosamund Pike pada satu acara fesyen,” ujarnya.

Stigma orang Asia

Pernah duduk semeja dengan model antarabangsa, Bella Hadid ketika kunjungan jelitawan tersebut di Kuala Lumpur sebagai wajah baharu jenama jam tangan mewah, Tag Heuer, Scha turut memuji peribadi model ternama itu.

“Bella Hadid juga sangat peramah. Dia lebih peramah daripada segelintir artis Malaysia. Saya sangat terharu apabila dia masih mengingati saya ketika bertemu buat kali kedua dengannya di Rom, Itali. Dia sangat merendah diri,” kongsi Scha yang cukup dikenali menerusi drama bersiri Awan Dania suatu ketika dahulu.

Tambah Scha, orang Asia selalu berasa mereka terlalu kecil di mata dunia jika dibandingkan orang Barat, namun perkara tersebut sudah semakin berubah.

Hal ini kerana, berdasarkan pemerhatian Scha sepanjang mewakili Malaysia ke acara fesyen antarabangsa seperti New York Fashion Week atau Milan Fashion Week, dia berasa sangat dihargai individu sekeliling sebagai orang Asia.

“Orang Barat memang akan bercakap setiap masa apabila berjumpa terutama dengan orang Asia.

“Saya tidak tahu sebabnya, mungkin kerana kita kelihatan kecil, kuning atau putih, berlainan berbanding orang Barat. Lensa kamera di sana pun suka merakamkan foto orang Asia kerana kita tampak lain,” jelasnya.

Meski terasa kerdil, Scha mengakui telah mempelajari banyak perkara hasil pengalamannya menjelajah dunia luar menghadiri acara fesyen.

“Sebagai orang Asia, tidak dinafikan kita memiliki banyak kelemahan. Kita akan berasa ‘kecil’ apabila berada di negara orang.

“Bagi saya, suka atau tidak kita harus memberanikan diri untuk ke hadapan dan merobohkan tembok yang menjadi halangan untuk terus maju. Seperti saya cabaran terbesar adalah masalah pergaulan,” terangnya.

Lagu Cinta Kita

Selain acara fesyen, Scha juga kerap diundang sebagai juri program realiti. Terbaharu, Scha akan diberi kepercayaan sebagai juri program realiti, Lagu Cinta Kita.

Program tersebut akan mula bersiaran secara digital dan eksklusif bermula 19 April ini, setiap Jumaat dan Sabtu dalam laman YouTube, TV3Malaysia pukul 9 malam.

Bagi siaran TV3 pula, program berkenaan akan mula bersiaran mulai 21 April setiap Ahad pukul 3 petang selama dua jam.

“Peranan sebagai juri, memerlukan saya membuat penilaian terhadap karakter, keserasian dan bahasa tubuh atas pentas nanti.

“Dari segi vokal, saya serahkan kepada Hael Husaini kerana dia mempunyai kepakaran dalam bidang itu,” katanya.

Sebagai juri, Scha tidak menolak kebarangkalian, perkahwinan pemenang Lagu Cinta Kita akan ditaja andai benar menjalin hubungan cinta pada penghujung program.

“Kalau benar pemenang bercinta, pihak produksi akan menaja majlis perkahwinan mereka. Itu antara perkara yang dijanjikan.

“Saya tidak rasa mereka boleh memalsukan atau ‘berlakon’ soal perkahwinan. Perkahwinan merupakan perkara sekali seumur hidup dan bukan boleh dibuat main,” jelasnya lagi.

Lagu Cinta Kita merupakan sebuah program realiti yang diadaptasikan dariapda program popular Vietnam, Love At First Song. Program tersebut bertujuan mencari pasangan duet yang terbaik melalui pilihan lagu yang sama oleh kedua-dua pasangan serta menguji keserasian pasangan masing-masing.

Saman

Beralih bicara tentang kemenangan kes tuntutan samannya terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn. Bhd., Scha mendedahkan bakal mengambil tindakan terhadap pengeluar minyak wangi eksklusif, Blue dan Maroon iaitu Eree International.

Katanya, tindakan itu diambil kerana kelalaian syarikat tersebut yang menyebabkan kerosakan sejumlah 3,215 botol minyak wangi.

“Pihak guaman saya sudah menghantar notis peringatan terhadap syarikat pengeluar itu kira-kira dua bulan lepas, namun sehingga kini, masih belum mendapat maklum balas.

“Oleh itu, surat tuntutan untuk bertanggungjawab atas kelalaian kerosakan jumlah botol minyak wangi itu akan dihantar pula selepas ini,” getusnya.

Tambah Scha, 35, dia tidak sewenang-wenangnya ingin mengambil kesempatan untuk menyaman mana-mana syarikat demi mendapatkan keuntungan sebaliknya ingin menuntut hak selain memberi kesedaran kepada golongan selebriti tentang kepentingan ilmu dunia perniagaan.

“Saya tidak berniat untuk mendapat keuntungan dengan mengambil tindakan undang-undang. Apa yang saya lakukan adalah untuk memberi kesedaran kepada golongan selebriti supaya berhati-hati apabila terlibat dalam perniagaan.

“Sebelum menjalankan atau terlibat dengan perniagaan perlu faham terma dan peraturan. Fahami dan baca kontrak agar perkara yang berlaku kepada saya dan suami tidak berulang kepada orang lain,” kata Scha.

Terdahulu, Scha dan suaminya, Awal berjaya memperoleh ganti rugi sebanyak RM345,305 selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpr membenarkan tuntutan saman mereka terhadap syarikat D’Haja (M) Sdn. Bhd.

Saman berkenaan adalah berhubung pelanggaran kontrak pengedaran dan penjualan eksklusif 20,000 botol minyak wangi jenama Bleu dan Maroon oleh syarikat pembekal tekstil tersebut.
Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya bangga bergelar orang Asia. Sering diberi peluang mewakili negara ke acara fesyen terkemuka dunia, Scha melihat hal itu sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan diri yang sebelum ini bersifat introvert.

Previous Post Next Post