Amelia Henderson kalis cacian




Memiliki pakej lengkap untuk meluaskan kerjaya di pasaran luar negara, pemilik nama lengkap Amelia Thripura Henderson tidak menolak rezeki andai diberi peluang mengorak langkah ke arah tersebut sama ada dalam bidang lakonan mahupun pengacaraan.

Petah berkata-kata, dikurniakan rupa paras menawan, Amelia bagaimanapun berpijak di bumi yang nyata. Dia mahu memperkukuhkan nama di negara kelahirannya iaitu Malaysia.

Tambahan pula, wanita kelahiran Ampang, Selangor itu baru sahaja memenangi anugerah Asia Model Awards bagi kategori Model Asia yang diadakan di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

“Buat masa sekarang, tengok dahulu macam mana. Ingin membina nama di luar negara bukan mudah. Kalau orang tanya, tidak teringinkah untuk meluaskan jenama ke Korea, jawapannya, saya masih tidak tahu.

“Saya perlu bijak memilih tawaran. Misalnya, jika pasaran Asia luas seperti Filipina dan Indonesia. Buat masa sekarang, semuanya bergantung pada kesesuaian masa.

“Apa yang penting, saya mahu membina nama yang kukuh di dalam negara dahulu sebelum meluaskan jenama ke pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada lawatan media ke lokasi penggambaran filem J Retribusi di Johor Bahru.

Diajak berbicara tentang peranan yang dimainkan dalam filem tersebut, Amelia teruja berkongsi pengalaman sulungnya membintangi filem aksi dan keseronokan bekerja bawah arahan Nasrul Asraff Mahzan dan Nazim Shah itu.

“Dalam filem ini, saya memegang watak sebagai Amy yang sangat fokus dengan kerjanya. Sepanjang penceritaan kelak, penonton dapat lihat perubahan yang berlaku kepada diri Amy,” katanya.

Amelia turut berkongsi, banyak cabaran dilaluinya bagi menjayakan karya tersebut terutama dari aspek fizikal.

“Sebelum mula masuk set penggambaran, saya perlu buat persediaan termasuk ke gimnasium untuk memastikan diri bertenaga ketika menjayakan babak aksi.

“Paling mencabar, ketika pertama kali menjalani latihan untuk babak aksi, badan saya sakit sehingga tidak boleh keluar rumah,” katanya.

Ugutan rogol

Mengakui selesa berada di set penggambaran, Amelia berterima kasih kepada pengarah yang banyak membantunya menjiwai watak Amy.

“Pengalaman penggambaran J Retribusi adalah yang terbaik kerana semua orang bekerja bersungguh-sungguh. Terima kasih juga kepada pengarah yang banyak membantu saya. Sepanjang penggambaran, saya banyak bertanya perkembangan watak Amy untuk memastikan lakonan menepati kehendak pengarah,” katanya yang turut mempelajari pertuturan bahasa Mandarin demi tuntutan watak.

Amelia turut berkongsi pengalaman zaman kanak-kanak yang banyak mengajar dirinya. Dek populariti dan mungkin pesona yang dimiliki, Amy pernah menerima ugutan rogol oleh orang yang tidak dikenali ketika masih kecil.

Perkara tersebut berlaku sewaktu dirinya berusia 12 tahun dan ugutan dibuat melalui SMS (khidmat pesanan ringkas).

“Dahulu, saya selalu menghadiri acara Bintang Kecil. Ketika itu mana tahu tentang privasi, jadi saya kongsi nombor telefon peribadi kepada kawan-kawan.

“Entah macam mana, suatu hari saya terima SMS daripada seseorang yang tidak dikenali.

“Dia ugut yang dia kenal dan tahu tempat tinggal saya. Satu hari nanti, dia akan rampas saya daripada keluarga dan rogol saya sampai mati,” kata wanita berwajah pan-Asia itu kepada penulis.

Warganegara

Dari satu sudut berbeza, pengalaman sebegitu memberi kekuatan buat dirinya mengharungi segala tohmahan dan cacian netizen di sosial media yang amat mencabar ketika.

“Pengalaman ketika kecil membuatkan saya cukup terlatih untuk berdepan dengan kritikan netizen.

“Saya tidak kisah apa yang orang ingin cakap tentang tetapi jangan sentuh apa-apa berkaitan keluarga,” tuturnya.

Mengulas sedikit tentang pertikaian isu kewarganegaraan yang tercetus dalam ruangan komen Instagram, Amelia berkata, dia tidak berkecil hati dek perkara sebegitu.

“Saya tidak kecil hati, tetapi kalau orang cakap saya bukan orang Malaysia, saya boleh tunjuk sijil kelahiran atau pasport.

“Malaysia adalah sebuah negara yang hebat dan saya bangga menjadi salah seorang rakyat negara ini. Negara ini kaya dengan pelbagai bangsa, budaya dan adat resam.

“Sesetengah orang gagal menghadam fakta ini hanya kerana rupa saya ‘tidak Melayu’.

“Bukan saya ingin bergaduh dalam sosial media tetapi ingin membetulkan tanggapan bahawa Malaysia itu indah dengan pelbagai jenis orang berlainan bangsa,” getus Amelia menutup bicara.

Pelakon jelita berwajah pan-Asia, Amelia Henderson berbicara tentang peranannya sebagai Amy dalam filem aksi J Retribusi. Petah berbicara, wanita itu menjawab tuduhan segelintir netizen yang musykil tentang statusnya sebagai warganegara Malaysia.


Previous Post Next Post