Dua tahun berperang dingin, Nabila Huda bertekad mahu terus menjaga hubungan baik dan tidak ingin lagi berjauhan dengan bapanya, Amy Search.
Siapa sangka, satu status dalam Instagram mampu menjadi titik perubahan hubungan dingin dua beranak, Nabila Huda, 35, dan bapanya, si legenda rock negara, Amy Search sejak dua tahun lalu.
Bermula dengan status Hari Bapa perkongsian Nabila diikuti luahan ibu tirinya, Norhasniza Hassan atau Norish yang dianggap Nabila sebagai memulangkan paku buah keras buat dirinya, perkara tersebut mengundang perhatian khalayak.
Masing-masing berhujah bahkan ada yang mendoakan kebaikan buat keluarga popular itu.
Namun, hal tersebut tidak berpanjangan apabila pengarah tersohor, Erma Fatima yang dianggap sebagai ibu angkat oleh Nabila mengaturkan pertemuan mereka di kediaman Amy sebagai langkah untuk merapatkan semula hubungan dua beranak itu.
Bagi Nabila, tiada perkara lebih menggembirakan hatinya atas takdir Tuhan di sebalik insiden berkenaan yang sebenarnya menyerlah kepincangan keluarganya.
Barang yang lepas biarkan berlalu, Nabila seperti mendapat semangat baharu. Dia mahu fokus dengan keindahan yang kembali bersemi dan berharap dia tidak perlu lagi berpisah dengan bapanya pada masa hadapan..
KOSMO!: Apakah sebenarnya yang Nabila hajatkan sewaktu memuat naik status Hari Bapa tempoh hari?
NABILA: Saya hanya mahu mendengar perkataan maaf daripada mereka. Saya mahu mendengar mereka mengakui apa yang berlaku antara kami, sebahagiannya turut berpunca daripada salah mereka dan saya mendapat perkataan maaf itu daripada ibu tiri saya. Selepas mendengar mummy (panggilan terhadap ibu tiri) memohon maaf dan menyesali apa yang berlaku, hati saya tersentuh.
Bagaimanakah anda boleh bersetuju bertemu bapa (Amy) selepas diajak Erma?
Saya tidak tahu, mungkin Allah memang mahu kami berbaik. Pada mulanya saya enggan pergi tetapi apabila mama (panggilan untuk Erma Fatima) meminta saya datang juga atas alasan, sampai bila hendak berkeras hati. Saya turutkan. Saya bersyukur kerana mendengar kata-kata mama kerana pada malam itu, saya lihat muka papa (panggilan terhadap Amy) bercahaya dan senyumannya sangat bermakna.
Apakah yang membuat hati anda lembut untuk berbaik semula dengan ibu tiri?
Saya buang ego dan kenang semula perkara-perkara baik yang dia pernah buat untuk saya sebelum ini. Kami sama-sama bersalah dan jika masing-masing enggan mengalah, sampai bila-bila pun hubungan kekeluargaan ini tidak akan pulih. Selain itu, saya rasa berkat doa ramai orang seperti rakan-rakan dan peminat turut menyumbang kepada pengakhiran yang baik ini.
Sepanjang berjauhan dengan bapa, apakah yang Nabila rasa?
Saya rasa hidup ini tidak sempurna dan tidak lengkap. Ada satu ruang kosong dalam hati walaupun saya sudah bersuami dan mempunyai anak. Saya tidak sanggup lagi menempuh situasi sama, cukuplah dengan apa yang saya rasa.
Boleh kongsikan harapan anda dalam hubungan dengan bapa selepas ini?
Saya tidak mahu berharap, saya cuma mahu tekadkan hati untuk menghabiskan masa dengan papa sehingga akhir hayat. Saya mahu beritahu dia setiap hari, betapa saya sayangkan dia dan tidak mampu berjauhan dengan papa.