Fizo Omar terima keputusan mahkamah




Pelakon dan pengacara Fizo Omar mengakui rumah tangganya bersama isteri, Mawar Karim sedang dilanda cabaran ketika ini tetapi mereka sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik.

Dia juga mengharapkan agar semua pihak terutama media dan netizen bersabar dan memahami situasi yang sedang dihadapi mereka.

"Sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga pasti mempunyai impian untuk hidup bahagia dan mempertahankannya hingga ke Jannah.

"Tetapi apabila sampai waktunya kita dipilih oleh Allah untuk diuji, itu bermaksud kita mampu untuk menghadapinya dan percayalah Allah tidak pernah zalim kepada hamba-Nya.

"Mungkin setiap kejadian yang berlaku nampak buruk di mata manusia, tetapi tidak di sisi Allah. Setiap apa yang berlaku diiringi dengan hikmah dan ia bergantung kepada kita untuk menerimanya. Sekiranya kita memandang ia ke arah positif, maka hasilnya adalah positif dan begitu sebaliknya," tulis Fizo menerusi Instagramnya sebentar tadi.

Menerusi perkongsian itu, Fizo yang memuat naik gambarnya bersama Mawar berkata, apa jua keputusan yang dikeluarkan mahkamah kelak dia akan menerimanya dengan baik.

"Doa yang baik-baik daripada semua pihak diharap dapat menemui jalan terbaik antara saya dan Mawar. Tidak akan berlaku sesuatu perkara tanpa izin Allah. Sekiranya ia berlaku dan itulah takdir Allah, saya percaya perancangan Allah adalah yang terbaik untuk hamba-Nya.

"Saya amat berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada kami untuk menyelesaikan isu ini sebaik mungkin," katanya.

Biar apa pun yang akan berlaku nanti, hubungannya dengan Mawar akan terus dijaga demi membesarkan dan mendidik anak mereka, Wan Maryam.

"Apa jua yang terjadi, Mawar tetap ibu kepada anak kami, Wan Maryam. Semoga Allah memberkati Mawar dan saya sentiasa doakan yang terbaik untuk semua.

"Terima kasih kepada semua yang memberikan kata-kata semangat. Doa yang baik-baik dan saya juga memaafkan segala komen mahupun fitnah yang dilemparkan netizen kerana mereka tidak tahu kisah sebenar.

"Doakan, doakan. Terima kasih," katanya.

Previous Post Next Post