Bintang seni aktor dan penyanyi Naim Daniel baru sahaja menyinarkan kilauannya sejak kebelakangan ini terutama selepas lakonan cemerlangnya sebagai Budi, orang kelainan upaya (OKU) dalam drama Pia meraih perhatian khalayak.
Biarpun dilihat sebagai pendatang baharu, tidak ramai yang tahu karier seni Naim sebenarnya telah bermula sejak dia berusia lapan tahun. Sepanjang bergelar pelakon Naim telah membintangi beberapa buah drama antaranya, Cucu Betong, Cinta Elysa, Jangan Ambil Padang Kami dan Wadi.
Selepas lebih sedekad memegang gelaran anak seni, perkembangan karier lakonan pemuda berusia 22 tahun itu tidaklah benar-benar berada di puncak kerana bergerak sedikit mendatar.
Enggan berputus asa, Naim melebarkan bakatnya dengan bergelar penyanyi menerusi single perdana berjudul Sekali Lagi dan seterusnya Sempurna yang dilancarkan pada tahun lepas.
Namun, sambutan yang diterima untuk lagu-lagunya juga tidaklah sehebat karya pendatang baharu atau diberi terma Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) yang lain sekali gus membuatkan perkembangan karier nyanyiannya juga berjalan perlahan.
Tidak menunggu lama untuk tampil dengan buah tangan ketiganya berjudul Sumpah, lagu tersebut pantas meledakkan popularitinya dalam sekelip mata kerana pada masa sama, lagu tersebut turut dijadikan runut bunyi untuk drama Pia lakonannya di samping Zara Zya dan Alif Satar.
“Sejujurnya, saya terkejut dengan apa yang sedang dilalui ketika ini. Saya percaya, kejayaan tidak datang dalam tempoh sehari, tetapi menuntut saya menanti selama lebih 10 tahun untuk berada di posisi hari ini.
“Walaupun masih baharu dalam bidang seni suara, tetapi saya yakin bahawa rezeki Tuhan tidak pernah salah alamat. Mungkin sudah ditakdirkan inilah waktu saya.
“Cuma saya sentiasa ingat satu pesanan ayah bahawa tidak semua orang akan suka apabila kita berada di atas. Jadi, perkara itu membuatkan saya sentiasa menjaga diri daripada melakukan perkara yang boleh memusnahkan karier,” ujar Naim yang bersyukur kerana membesar dalam dunia seni.
Dalam kehangatan sambutan lagu Sumpah ketika ini, Naim tetap mencari masa untuk menyiapkan album perdananya yang bakal memuatkan 10 buah lagu termasuk Sumpah, Sekali Lagi dan Sempurna.
“Menerusi album ini, saya banyak bekerjasama dengan komposer Omar K dan Audi Mok. Dalam simpanan saya sudah ada empat buah lagu, baki tiga buah lagu lagi akan dikeluarkan dalam masa terdekat mengikut turutan. Insya-Allah, single seterusnya saya akan berkolaborasi dengan seorang penyanyi rap muda,” ujarnya yang menganggap album itu sebagai hadiah istimewa kepada peminatnya.
Budi
Hadir dengan pakej single dan drama dalam satu masa membuatkan nama Naim kini sedang meniti di bibir peminat sebagai antara artis muda yang cukup berbakat dalam bidang nyanyian dan lakonan.
Biarpun drama Pia sudah mengakhiri siarannya pada 6 Jun lalu, namun Naim masih teruja untuk berbicara tentang watak Budi yang disifatkannya sangat unik dan mencabar untuk diterjemah ke layar skrin.
Kongsinya, dia mengambil masa dua bulan untuk melakukan kajian terhadap penyakit Serebral Palsi, (CP) dengan menonton video di YouTube selain mengadakan pertemuan empat mata dengan pesakit sebenar penyakit itu.
“Sewaktu diberi tawaran watak ini, Sheila Rusly tidak memberikan sebarang skrip. Dia hanya memberitahu nama penyakit ini dan meminta saya mengkajinya sendiri di internet.
“Saya juga bertemu dengan golongan ini untuk melihat sendiri bagaimana mereka melakukan rutin harian. Sebab itu, saya mengambil masa selama dua bulan untuk mempersiapkan diri dengan watak ini,” katanya yang mengakui sangat teruja apabila berpeluang keluar dari zon selesanya dengan mencuba watak Budi.
Di sebalik keterujaan itu, ada pengalaman lain yang sukar dilupakan pemilik nama lengkap Muhammad Naim Daniel Baharin itu sebaik sahaja menamatkan peranannya selaku penghidap Serebral Palsi.
Meskipun penggambaran telah tamat, menurut Naim, sukar untuknya menyingkirkan Budi daripada dirinya sehingga terikut-ikut gaya pertuturan watak tersebut. Malah, dia memerlukan masa selama seminggu untuk benar-benar ‘bersih’ daripada Budi.
“Seminggu juga saya ambil masa untuk biasakan diri bercakap seperti orang normal sebab Budi sudah sebati dalam diri saya. Perkara yang paling tidak boleh dilupakan adalah ketika ramai penonton tersentuh menonton lakonan saya terutamanya golongan ibu.
“Ada antara mereka yang menghantar mesej peribadi dalam Instagram dan memberitahu sangat tersentuh serta berterima kasih kerana saya melakonkan watak yang mewakili anak mereka.
“Pengiktirafan daripada penonton adalah anugerah terbesar buat diri saya,” katanya yang mahu naskhah dan watak itu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang golongan penghidap Serebral Palsi.
Raya rumah baharu
Masih belum terlambat berbicara tentang sambutan raya, Naim mendedahkan dia cukup teruja kerana dapat menyambut Aidilfitri di kediaman baharu keluarganya di Melaka.
Sebelum ini ibu bapa, abang, kakak dan adik perempuannya tinggal di sebuah rumah di Semenyih, Selangor, sementara menanti proses pembinaan rumah di Melaka siap.
“Tahun ini saya sangat seronok sebab dapat menyediakan kelengkapan raya untuk keluarga. Sejak dulu, memang saya membeli barangan keperluan untuk mereka, tetapi tahun ini ada rezeki lebih.
“Sebagai anak kita digalakkan untuk mendahulukan keluarga, kerana selama ini merekalah yang sentiasa ada bersama sepanjang jatuh bangun saya.
“Lebih manis, raya kali ini saya agak teruja kerana dapat beraya di rumah baharu selepas menanti selama lebih dua tahun,” katanya.
Dalam perancangan juga, Naim menyatakan hasrat untuk mengadakan majlis rumah terbuka dengan menjemput para peminatnya di kediaman baharunya itu.
Selepas lebih 10 tahun mendaki ke puncak populariti, kemunculan Naim Daniel dengan lagu hit Sumpah dan drama Pia meledakkan namanya selaku penyanyi muda yang sedang menjadi sebutan ketika ini.