Ernie Zakri sedia kongsi ilmu




Disebut-sebut bakal menggantikan posisi penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, andai lagu Anta Permana layak ke pentas Anugerah Juara Lagu Ke-34 (AJL34), penyanyi Ernie Zakri sedar perkara tersebut belum muktamad.

Sementelah kata Erni, sehingga hari ini, dia masih belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana pihak, terutama komposer mahupun penyanyi asal lagu berkenaan berhubung pilihan besar tersebut.

Jelas Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 27, dia juga sedar tentang kewujudan desas-desus tersebut namun tidak berani untuk mengiyakan atau menidakkan kata hati.

“Saya tahu perkara ini pun daripada pihak media tetapi sejujurnya, sehingga kini saya belum didekati secara ‘rasmi’ oleh komposer (Hael Husaini) atau Tok Ti (panggilan untuk Siti Nurhaliza).

“Saya pasti ramai yang ternanti-nanti siapakah penyanyi yang bakal menggantikan Tok Ti untuk menyanyikan lagu Anta Permana dalam AJL34. Bagi saya, biarlah Hael atau Tok Ti sendiri yang putuskan nanti,” kata pelantun lagu Ku Bersuara usai ditemui Kosmo! pada sidang akhbar Mentor Milenia 2019 di Petaling Jaya baru-baru ini.

Kesediaan

Ditanya kesediaannya untuk menggantikan posisi penyanyi bertaraf biduanita itu mendendangkan lagu tersebut, jawab Ernie: “Buat masa sekarang, tidak pasti untuk mengiyakan atau menidakkan. Apa yang utama adalah fokus untuk melihat lagu saya sendiri iaitu Ku Bersara mara ke Separuh Akhir Muzik-Muzik dan seterusnya ke AJL34.

“Soal kesediaan saya untuk menyanyikan lagu Anta Permana, saya akan berbincang dengan syarikat pengurusan. Kalau ada rezeki dua tiga lagu masuk AJL34 pun, apa salahnya (ketawa).”

Diminta menebak tentang penyanyi lain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Siti untuk lagu berkenaan, Ernie menyebut nama penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz.

Alasannya, Aisyah mempunyai gaya dan teknik nyanyian yang unik, sekali gus mengurangkan kemungkinan untuk dibeza-bezakan dengan gaya nyanyian Siti.

“Saya secara peribadi sukakan Anta Permana oleh Aisyah sebab dia ada aura Saloma dalam nyanyiannya.

“Semua orang tahu Siti sangat hebat menyanyikan lagu balada dan irama Malaysia. Jadi mengapa tidak lagu Anta Permana dinyanyikan oleh individu yang betul-betul boleh menzahirkan kelainan. Itu pendapat saya kerana saya sendiri pernah dengar Aisyah menyanyikan lagu tersebut,” ulasnya.


Mentor

Dalam perkembangan lain, Ernie bakal memikul tanggungjawab sebagai mentor bersama empat penyanyi muda lain iaitu Akim, Black, Hazama dan Stacy dalam program realiti televisyen, Mentor Milenia 2019 yang akan berlangsung Oktober depan.

Memiliki kelebihan sebagai guru vokal, Ernie menyifatkan mandat tersebut tidak menjadi satu bebanan atau tekanan buatnya untuk bersaing dengan mentor lain.

“Andai peminat meletakkan jangkaan tinggi hanya kerana saya seorang guru vokal, namun apa yang boleh saya janjikan adalah menurunkan ilmu sehabis baik buat dua bakal protege nanti.

“Selain daripada pengalaman yang telah diraih dalam industri seni tempatan, saya juga boleh berikan kelas vokal percuma kepada mereka (ketawa),” katanya.

Disuakan pertanyaan, apakah yang membuatkan dirinya menerima tawaran sebagai mentor, Ernie mengakui penglibatannya dalam program sebegitu sudah menjadi impiannya sejak lama dahulu.

“Dahulu saya tengok orang lain menjadi mentor, saya memasang impian untuk duduk di posisi yang sama suatu hari nanti.

“Alhamdulillah, tahun ini impian itu menjadi kenyataan. Ini peluang keemasan untuk saya berkongsi ilmu dengan dua bakal protege nanti,” tuturnya.

Mengulas tentang kriteria yang dicari dalam diri bakal protege, Ernie menjelaskan, aspek paling utama adalah bakat.

“Saya cari protege yang mempunyai bakat nyanyian, apabila dia buka mulut kita sudah tidak pandang tempat lain. Penampilan menarik juga satu bonus.

“Ada faktor X dalam nyanyian yang betul-betul saya cari. Misalnya andai telinga saya kata sedap apabila dia melontarkan vokal, mungkin dia orang yang saya cari,” ujarnya menutup perbualan.

Previous Post Next Post