
Pelakon Fasha Sandha sangat menghargai setiap doa daripada khalayak yang mengharapkan dirinya kekal dengan imej bertudung selepas gaya manisnya berhijab sepanjang Ramadan lalu menarik perhatian peminat.
Namun akui aktres berusia 35 tahun itu, dia masih dalam proses ‘belajar’ dan belum lagi memutuskan perkara tersebut kerana mahu kuatkan hati terlebih dahulu.
Ikuti penjelasan daripada pelakon yang sedang hangat menerusi drama bersiri Semua Salahku itu ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Aura White Sparkle Diamond Skincare dan Aura White Sparkle Diamond Collagen Travel Pack di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Boleh Fasha jelaskan tentang pelantikan sebagai duta produk Aura White?
FASHA SANDHA: Alhamdulillah saya tidak sangka sebenarnya apabila dipilih menjadi duta bagi produk penjagaan kulit Aura White. Ini adalah rezeki anak-anak dan keluarga. Sebelum menerima tawaran bergelar duta sesuatu produk, saya memang akan buat kajian terlebih dahulu dengan menggunakan produk berkenaan untuk tempoh tertentu. Sebab saya tidak mahu menipu pengguna dengan cara yang tidak berkat.
Bergelar duta untuk banyak jenama, mungkin anda ada sebarang panduan untuk dikongsikan kepada artis lain dalam hal ini?
Seperti yang dikatakan tadi, saya selalu percaya bahawa sesuatu perkara mestilah ada keberkatan. Jangan tipu pembeli hanya kerana mahu keuntungan dengan bayaran sebagai duta atau ulasan sesuatu produk. Lebih penting, komitmen perlu lebih. Contohnya, saya hanya perlu masukkan lapan kali ulasan dalam media sosial tetapi saya beri lebih daripada sepatutnya. Maksudnya di sini, jangan pernah berkira. Komitmen tidak tertumpu terhadap tanggungjawab sebagai duta sahaja tetapi untuk semua.
Maksudnya anda memang selalu memberikan komitmen yang lebih daripada sepatutnya, termasuk dalam soal lakonan?
Ya, walaupun bukan menjadi satu kewajipan pun kepada artis untuk berkongsi tentang kerja dalam laman sosial. Perkara itu tidak termaktub dalam perjanjian kontrak pun. Tetapi buat sahajalah sebab bagi saya, apabila kita beri kerjasama dalam bentuk sebegitu, tidak akan merugikan apa-apa pun. Malah cara sebegitu akan menaikkan jumlah pengikut seseorang pelakon dalam laman sosial.
Sepanjang Ramadan lalu anda mengenakan tudung dan mendapat pujian ramai, bahkan ada yang mahu anda kekal dengan imej sebegitu. Apa yang boleh anda jelaskan?
Saya tidak nafikan ramai yang suka tengok saya bertudung. Peminat juga mengharapkan agar saya kekal dengan imej sebegitu. Alhamdulillah, peminat sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga. Saya sangat menghargai setiap doa baik-baik daripada mereka. Cuma saya sendiri buat masa sekarang sedang dalam proses belajar. Doakan yang baik-baik supaya semuanya dipermudahkan.
Apa pula kata suami anda, Aidil Aziz tentang hal ini?
Aidil tidak pernah minta atau suruh saya pakai tudung. Dia tidak kisah kerana dia tahu mana yang terbaik untuk saya. Dia juga beri ruang untuk saya belajar perlahan-lahan dan tidak pernah mendesak. Tetapi kalau boleh, saya tidak mahu terlalu berbicara tentang hal ini bimbang disalah erti sesetengah pihak. Iman kita ada turun naik. Jadi lebih baik saya tetapkan hati terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan dalam hal ini. Cuma harapan saya agar peminat dapat mendoakan yang terbaik.