Ruhainies Teman lelaki anak emak




“Alhamdulillah hubungan saya dengan bakal ibu mentua baik-baik saja dan tiada sebarang masalah,” kata pelakon Ruhainies yang mengakui teman lelakinya dikenali Mr E seorang ‘anak emak’.

Kata Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27, bercinta dengan lelaki yang akrab dengan ibu ada kelebihan dan kekurangan, namun dia beruntung kerana teman lelakinya itu memberikan kasih sayang sama rata.

“Tidak dinafikan kekasih seorang ‘anak emak’ dan saya okey saja. Saya tahu dia selalu keluar berdua dengan ibunya.

“Bagi saya lelaki yang rapat dengan ibu dia perlu tahu tanggungjawab dan peranan. Dia perlu tahu apabila sudah berkahwin nanti keutamaan turut diberikan kepada isteri.

“Sepanjang kami berkawan hampir dua tahun ini, saya juga sering mengingatkan dia untuk membawa ibunya berjalan jika kami sering menghabiskan masa bersama,” katanya.


Menurutnya, ibu Mr E tidak pernah mengongkong hubungan mereka sebaliknya sangat memahami.

“Ibunya tidak pernah menghalang Mr E yang sering pulang ke Malaysia untuk bertemu saya memandangkan dia mempunyai perniagaan di London.

“Kadangkala ibunya juga selalu mengajak saya keluar berjalan dan meluangkan waktu bersama,” katanya.

Sementara itu, sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-27 pada 27 Julai ini, Ruhainies akhirnya mendedahkan nama kekasihnya.

“Saya tidak boleh kongsikan nama penuhnya lagi. Cukup sekadar dikenali sebagai Mr E Johan. Saya tidak mahu dedahkan nama penuhnya lagi kerana bimbang akan mengganggu privasinya.

“Seboleh-bolehnya saya nak dia jalani kehidupan seperti insan biasa. Doakan semoga hubungan kami berkekalan dan dipercepatkan jodoh,” katanya yang belum menetapkan sebarang tarikh untuk berkahwin.

Previous Post Next Post