Pelakon Sarah Hildebrand membuat pendedahan tentang punca putus cinta dengan bekas kekasihnya sekitar Februari lalu.
Difahamkan, bekas kekasih yang dimaksudkan Sarah ialah pengacara popular, Nabil Mahir, sementelah perpisahn mereka diketahui umum berlaku pada awal tahun ini.
Menerusi kemas kininya dalam Instagram, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu menjelaskan dia penat mendepani perkara yang membebankan ketika sepanjang percintaan.
“Kawan-kawan saya kerap meminta saya untuk meninggalkannya, tetapi saya tetap optimistik dan mengharap. Selama lima tahun bersama, saya diejek, ditolak dan dibuli.
Sarah bagaimanapun masih boleh meneruskan hubungan kerana dia percaya keadaan akan berubah.
Namun hubungan mereka semakin meruncing apabila bekas kekasih turut pernah menuduhnya tidur dengan pengurus kerana mahukan populariti.
“Maaf, saya bukan perempuan jalang. Saya pastikan duit yang saya dapat halal. Saya juga pastikan kerja yang saya lakukan halal. Apa yang saya dapat bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk ibu saya juga,” katanya lagi.
Mengakui penat dengan suhu perhubungan yang tidak menentu, Sarah juga bersyukur kerana urusannya dipermudahkan Tuhan.
“Namun, Allah Maha Adil, bekas kekasih saya itu mengaku pernah menjalinkan hubungan dengan wanita lain,” luah Sarah.
Sungguhpun begitu, Sarah mengakui lega dengan keputusan yang dibuat. Akuinya, keputusan untuk berpisah dibuat semasa pergaduhan terakhir mereka.
“Sepatutnya saya minta putus lebih awal. Tetapi, saya tulis semua ini kerana berniat baik. Saya mahu kamu semua belajar daripada kesilapan saya,” akuinya.
Tidak sampai beberapa jam luahan hatinya dikongsikan dalam Instagram, pelakon berusia 29 tahun itu bagaimanapun memadamkan semula muat naik tersebut.
Pada Februari lalu, kisah Sarah dan Nabil Mahir menjadi buah mulut ramai apabila masing-masing membuat pengakuan putus cinta selepas lima tahun bersama.
Lebih mensensasikan keadaan, Nabil mengakui telah membeli sebentuk cincin untuk melamar Sarah. Namun, hasrat bekas pengacara HLive! itu tidak kesampaian apabila mengumumkan telah putus cinta dengan pelakon berkenaan.