Syafiq Kyle Ralat tak sempat korban tahun ini




Pelakon Syafiq Kyle mengakui ralat apabila tidak dapat melakukan ibadah korban dengan menyembelih seekor lembu pada sambutan Aidiladha tahun ini.

Syafiq ketika dihubungi berkata, dia tidak sempat untuk menguruskan urusan penyembelihan terbabit kerana terikat dengan komitmen kerja yang padat.

“Saya memang ada merancang untuk menyembelih seekor lembu tahun ini, tapi malangnya tak dapat nak buat kerana terikat dengan jadual kerja.

“Selesai saja penggambaran filem Pusaka, saya kini terbabit pula dengan latihan untuk menjayakan teater berjudul Pawana Isabella pada hujung Ogos ini.

“Walaupun sedikit kecewa kerana tahun sebelum ini saya sempat melakukan ibadah korban bersama keluarga dan saudara-mara, tapi saya anggap tiada rezeki tahun ini,” katanya.

Menurut Syafiq, kedatangan Aidiladha tahun ini disambut secara sederhana bersama ahli keluarga di Kuala Lumpur.

“Tiada yang istimewa. Sambutan Aidiladha bersama keluarga saya hanya sederhana sahaja. Paling penting dapat berkumpul bersama pada hari raya pertama.

“Tiada persiapan khusus pun melainkan menikmati juadah raya yang disediakan keluarga dan meluangkan masa bersama mereka.

“Lagipun saya hanya bercuti pada hari raya pertama saja. Pada hari raya kedua saya sudah kembali bekerja dan menjalani latihan teater,” katanya.


Previous Post Next Post