Aishah cuba saingi BBNU




Seiring dengan kebangkitan golongan penyanyi baharu yang popular dengan gelaran Budak Baru Nak Up (BBNU), penyanyi senior, Aishah, akan muncul bersama sebuah lagu yang agak berbeza daripada profil seninya selama ini.

Menurut pemilik nama Wan Aishah Wan Ariffin, 55, itu, lagu yang diberi judul, Oh Dunia Ini Penuh Kepalsuan itu adalah percubaannya untuk mendekati peminat generasi muda.

Biarpun single Malar yang dikeluarkan sebelum ini agak kurang mendapat sambutan, Aishah ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman hos Anugerah Bintang Popular ke-32 (ABP32) di Anjung Liku, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak berasa kecewa, sebaliknya lebih bersemangat mahu menghasilkan lagu baharu.

Katanya, dia sudah tidak mengejar populariti, tetapi hanya ingin berkarya selagi nyawa dikandung badan tanpa mengira genre lagu.

Adakah anda kecewa apabila single Malar kurang mendapat sambutan?

AISHAH: Tidak kerana bagi saya, setiap lagu ada peminat tersendiri. Mungkin Malar lebih digemari oleh golongan lebih berusia kerana genre baladanya, namun tidak lama lagi saya akan hasilkan lagu untuk orang muda pula.

Adakah menghasilkan lagu yang dekat dengan jiwa golongan muda merupakan satu percubaan anda untuk kekal relevan?

Ya, sebagai penyanyi saya perlu sentiasa menghasilkan karya yang seiring dengan masa. Lagipun saya sudah 32 tahun dalam industri, mencuba genre berbeza bukan satu perkara baharu.


Mengapakah anda memilih judul lagu yang agak panjang?

Mungkin untuk gimik (ketawa). Sebenarnya judul tersebut dipilih sekadar untuk tampilkan perbezaan. Kebiasaannya kebanyakan penyanyi lebih cenderung memilih tajuk lagu yang pendek, jadi saya pilih yang panjang, Oh Dunia Ini Penuh Kepalsuan.

Bilakah lagu terbaharu itu akan dilancarkan?

Jika mengikut perancangan, sebelum saya membuat persembahan di ABP32 pada 22 September depan, tetapi semua masih dalam peringkat perbincangan. Namun, apa yang pasti, lagu tersebut akan dikeluarkan sebelum hujung tahun ini.

Adakah anda sudah bersedia jika lagu tersebut turut mendapat kritikan?

Ya, saya sudah bersedia. Adat menjadi artis, kalau tidak mahu dikritik saya tidak akan aktif semula dalam dunia nyanyian.

Boleh kongsikan apakah kebimbangan anda untuk persembahan pada malam kemuncak ABP32?

Saya tidak akan menipu kerana sejujurnya memang berasa gementar. Hal ini kerana, saya menganggap malam kemuncak ABP32 adalah sebuah acara hiburan berskala besar. Meskipun begitu, sebagai penyanyi debaran adalah satu perkara yang bagus kerana membuatkan saya lebih banyak berlatih dan menjaga stamina.


Previous Post Next Post