Jodoh tetap rahsia Tuhan. Predikat tersebut menjadi jawapan paling selamat demi sebuah jawapan terhadap sensasi hubungan dua sejoli pelantun Haram, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini.
Meskipun masing-masing tidak mengiyakan sangkaan umum tentang hubungan istimewa yang kelihatan sedang terjalin antara keduanya, sudah banyak pihak dan peminat merestui keintiman persahabatan mereka.
Keyakinan khalayak bertambah terang bagai bersuluh apabila, baik Dayang mahupun Hael, mereka sering berbalas-balas komen manis dalam ruangan komen Instagram masing-masing.
Hal tersebut dipanaskan lagi dengan adegan berkongsi makanan sepinggan dan video nyanyian bersama seolah-olah Hael benar-benar sedang mabuk cinta terhadap Dayang.
Ditemui Kosmo! pada acara Karisma Jelajah Suria FM di Central i-City, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 38, tidak keberatan menjelaskan situasi sebenar hubungan akrabnya dengan penyanyi lelaki dan komposer popular itu.
Boleh kongsikan perkembangan seni terbaharu Dayang?
DAYANG NURFAIZAH: Sekarang saya sibuk mempromosikan single terbaharu berjudul Sebentar. Alhamdulillah penerimaan orang ramai terhadap lagu itu sangat baik walaupun saya sudah agak lama tidak muncul dengan lagu berentak rancak. Dalam pada itu, saya juga sedang sibuk membuat persiapan untuk konsert Dayang Dua Dekad di Istana Budaya yang akan berlangsung pada 20 Disember depan.
Orang melihat anda terlalu kuat sangat bekerja sedangkan status anda sebagai penyanyi bertaraf papan atas atau ‘diva’ mampu dijadikan sandaran untuk berehat dan memilih untuk tidak melibatkan diri dalam acara-acara hiburan berskala kecil. Boleh jelaskan?
Saya buat dan teruskan sahaja apa yang telah dilakukan sepanjang 20 tahun berada dalam industri. Tiada istilah ‘diva’ dan memilih acara bagi saya. Macam acara Karisma Jelajah Suria ini, saya tiada masalah untuk turut serta kerana radio Suria banyak memberikan sokongan terhadap kerjaya nyanyian saya. Saya tidak pernah terfikir soal berada dalam apa juga taraf. Banyak benda yang perlu saya pelajari dalam bidang ini.
Baiklah, menyentuh soal peribadi, peminat kini seperti mengharapkan anda dan Hael benar-benar bercinta selepas kalian menjadi semakin rapat bermula dengan duet Haram, apatah lagi sempat mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-33. Apa yang boleh anda jelaskan?
Saya akui kami memang rapat namun hanya sebagai kawan. Kami mula rapat selepas dia menulis lagu untuk salah satu lagu dendangan saya sebelum ini yang berjudul Dia. Selepas itu, kami merakamkan lagu bersama menerusi Haram. Buat persembahan sama-sama. Senang cerita, saya memang selesa bekerja dengan Hael.
Jika ditakdirkan Hael adalah jodoh anda, boleh anda bayangkan?
Buat masa sekarang, memang kami hanya kawan. Tetapi pada masa akan datang, siapa tahu. Kalau betul peminat suka, doakanlah yang terbaik. Kalau peminat juga masih untuk terus bercakap yang kami bercinta, saya tidak boleh tutup mulut mereka.
Mungkin dengan timbulnya gosip percintaan anda dengan Hael bercinta, semakin ramai lelaki di luar sana yang takut untuk mendekati anda . Bagaimana pula kalau begitu?
Jangan takut (ketawa). Saya tak makan orang. Selagi tiada kenyataan yang saya akan kahwin esok, mana-mana lelaki-lelaki di luar sana boleh mengurat saya. Saya pun ingin kahwin macam wanita lain.