Biarpun masih belum membuat sebarang pengumuman kehamilan, pelakon Fasha Sandha telah dihujani ucapan tahniah daripada peminat dan rakan-rakan selebriti dalam akaun media sosial, Instagram.
Dalam ruangan komen, pelakon seperti Ummi Nazeera dan Elvina Mohamad menitipkan ucapan tahniah kepada Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 35.
“Semoga Allah melindungi anda dan bayi. Selamat berehat kakak,” ucap Ummi dalam ruangan komen pelakon filem Anak Halal itu.
Dalam pada itu, Elvina menitipkan pesanan: “Baby bump kelihatan sangat comel. Tahniah kakak, saya sangat gembira untuk anda. Semoga Allah melindungi anda dan bayi dalam kandungan.”
Fasha bagaimanapun mengambil pendekatan mengunci mulut apabila diajukan soalan tentang kehamilannya.
“Maaf, saya belum bersedia komen apa-apa setakat ini kerana sibuk dengan penggambaran 65 episod untuk siaran Astro.
"Terima kasih kepada peminat yang tidak jemu mendoakan kebaikan buat saya,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Terdahulu ibu Fasha, Hatijah Teh Man menerusi Instagramnya mengesahkan anaknya itu telah hamil dan usia kandungannya masih di peringkat awal.
Sebelum ini, Fasha pernah mengumumkan dirinya hamil selepas beberapa bulan mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Aidil Aziz.
Namun, dia mengalami keguguran ketika usia kandungannya hampir enam minggu.
Fasha dan Aidil mendirikan rumahtangga pada 30 Mac lalu dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar, Perlis.
Menerusi perkahwinan pertama dengan ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli, Fasha dikurniakan dua orang cahaya mata, Putra Rayfal, 6, dan Puteri Raysha Jemyma, 5.