Penyanyi dan pelakon popular Erra Fazira menafikan dakwaan penampilan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir Zawawi dalam video muzik Menangkah Cinta adalah sekadar gimik atau publisiti murahan untuk mempromosikan single terbarunya itu.
Menurut Erra, 45, bukan saja Shahir, pihak pengurusannya juga menyenaraikan beberapa artis popular lain seperti Awie Wings, Ungku Ismail, Zul Ariffin, Remy Ishak untuk ditampilkan dalam video muzik Menangkah Cinta ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Iman Imran itu.
“Jika nak diikutkan, nama Awie dalam senarai teratas pilihan saya kerana kami ada projek bersama pada tahun depan.
“Selain Shahir, nama Ungku Ismail juga dalam senarai akhir pengurusan.
“Namun, Ungku Ismail tidak dapat beri komitmen dan akhirnya, Shahir juga yang dilamar untuk menjadi model dalam video muzik ini dan ia juga ketentuan Tuhan,” katanya.
Erra ditemui pada majlis pelancaran lagu dan video muzik Menangkah Cinta di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.
Mengulas penampilan Shahir pula, katanya, dia bersyukur kerana penyanyi itu menerima lamarannya untuk muncul dalam video muzik Menangkah Cinta tanpa berfikir panjang.
“Pada mulanya saya tak jangka Shahir akan menerima lamaran untuk muncul dalam muzik video ini kerana kami sudah tidak bertemu hampir setahun.
“Namun, Shahir setuju dan alhamdulillah, proses penggambaran muzik video juga mudah dan senang bekerja dengannya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak menafikan lagu konsep pop balada itu memaparkan sebahagian kisah cintanya sendiri.
“Saya akui ia ada kaitan dengan kisah cinta tetapi tidak menyindir Shahir atau sesiapapun dalam muzik video ini,” katanya.