Suami Sazzy Falak retak tulang rusuk akibat kemalangan basikal




Sazzy (kiri) memuat naik gambar bersama suaminya.

Suami kepada pelakon Sazzy Falak, Nazril Idrus patah tulang selangka dan retak tulang rusuk setelah terlibat dalam kemalangan semasa melakukan aktiviti berbasikal.

Sazzy, 39, menerusi kemas kini laman Instagramnya memberitahu suaminya terjatuh dan cedera teruk ketika berbasikal bersama rakan-rakannya, termasuk Yasmin Hani dan Shahrin Razali.

“Dua hari kebelakangan ini adalah hari yang paling panjang. Suami saya mengalami kemalangan ketika berbasikal yang mengakibatkan Collarbone (tulang selangka) sebelah kirinya patah empat dan tiga tulang rusuknya retak.

“Dia juga mengalami kesukaran untuk bernafas tetapi Insya-Allah dengan pemantauan doktor dan jururawat keadaan suami boleh pulih seperti sedia kala,” ujar Sazzy yang risau tentang keadaan kesihatan suaminya.

Menurut Sazzy lagi, suaminya kini sedang menunggu keputusan daripada unit ortopedik sama ada perlu menjalani pembedahan atau tidak.

Nazril juga telah melakukan pemeriksaan menerusi imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan keputusan menunjukkan semua dalam keadaan baik.

“Paru-paru Nazril tidak terdapat sebarang kecederaan. Pasukan pembedahan juga memberitahu tulang rusuknya akan pulih dengan sendiri tetapi memerlukan masa.

“Suami akan berada di hospital dalam beberapa hari lagi untuk pemantauan lanjut,” katanya lagi.

Sewaktu kejadian, Nazril ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dengan kaki masih tersangkut pada basikal oleh Yasmin Hani dan suaminya Shahrin.

Yasmin yang juga sahabat Sazzy terus memaklumkan perkara tersebut kepada Sazzy sebelum
Nazril dibawa ke hospital.

Pasangan Sazzy Falak dan Nazril Idrus telah berkahwin pada 2006 dan dikurniakan anak perempuan kembar yang dinamakan Lily Imaan dan Tiara Rose.










Previous Post Next Post