Ajai Industri muzik tak akan mati




Persembahan atas talian yang menjadi pilihan ramai penyanyi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan kini menjadi rutin normal baharu dalam mendekatkan diri dengan peminat.

Komposer dan penyanyi, Ajai berkata, persembahan secara virtual menunjukkan kebijaksanaan artis dalam mempertahankan populariti, selain memastikan hubungan dengan peminat terus terjalin.

Ajai yang sudah tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni menganggap industri muzik tidak akan mati hanya disebabkan penganjuran konsert atas talian ketika semua persembahan terbuka dilarang.

Namun, kata Ajai, konsert secara 'live' tetap menjadi pilihan peminat kerana kepuasan penonton berbeza.

"Industri muzik tidak akan mati tetapi keadaan akan kembali seperti biasa sebaik wabak COVID-19 berakhir.

"Bagi saya, artis yang memilih membuat persembahan atas talian menunjukkan kebijaksanaan mereka untuk kekal relevan di mata peminat.

"Persembahan secara virtual tidak akan mematikan industri muzik. Semua ini hanya untuk sementara waktu sahaja.

"Ketika ini, ramai memilih membuat persembahan secara virtual termasuklah artis antarabangsa kerana situasi semasa," katanya kepada BH Online.

Ajai berkata, peminat fanatik tidak kisah menonton persembahan artis pujaan melalui sebarang medium.

"Sekalipun konsert secara virtual tidak memberi kepuasan asalkan dapat melihat aksi artis pujaan mereka, itu sudah memadai," katanya.

Tambah Ajai, konsert 'live' lebih memberikan kepuasan kerana suasana dan nikmatnya berbeza.

"Sesetengah peminat datang menyaksikan konsert bukan semata-mata kerana penyanyi, ada yang mahu melihat pemuzik beraksi. Sesetengahnya pula datang untuk menikmati muzik.

"Samalah seperti sambutan Aidilfitri, keseronokan bertemu sanak-saudara secara berdepan adalah berbeza dibandingkan dengan panggilan video.

"Apabila kita menonton konsert virtual, kita tidak dapat suasana konsert sebenar. Nilai konsert itu terletak kepada sistem bunyi, bukan visual," katanya.

Ajai berkata, selagi radio dan televisyen (TV) masih wujud, industri muzik tidak akan mati.

"Ketika ini, bukan industri muzik sahaja yang terjejas tetapi semua sektor berikutan penularan COVID-19.

"Bagaimanapun, buat masa ini, industri seni tidak menjadi pilihan teratas masyarakat.

"Mereka lebih memberi tumpuan kepada perkara yang menjadi keperluan asas seperti mencari wang demi kelangsungan hidup," katanya.

Previous Post Next Post