Farid Kamil dihukum penjara 13 bulan




PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari dihukum penjara 13 bulan atas tuduhan kekerasan jenayah dan keluar perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis.

Pada 21 Jun 2019, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu membela diri atas empat pertuduhan termasuk menampar anggota polis trafik dan orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 2018.

Pada 16 Januari 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 36 dan Konstabel Mohd Nizam Jamaluddin, 25.

Farid Kamil juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam dengan niat menghalangnya melakukan tugas.

Bagi pertuduhan keempat, pelakon itu turut didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Mohd Nizam sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Semua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Pada 15 Mei lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan Farid dipenjara sembilan bulan selepas dia memilih untuk berdiam diri pada prosiding pembelaan bagi kes menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC).

Mahkamah turut memerintahkan Farid berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selain menolak penangguhan pelaksanaan hukuman.

Selepas menjalani hukuman penjara selama 35 hari di Penjara Kajang, pada 19 Jun 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkannya menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan sehingga rayuan terhadap keputusan hukumannya diputuskan.

Farid dibenarkan bebas dengan jaminan RM10,000 serta pasport serahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Previous Post Next Post