PELAKON Riz Amin membelanjakan lebih RM24,000 bagi menjalani proses tanam rambut membabitkan 4,083 helai rambut.
Riz, 35, berkata, proses itu dibuat bagi mengatasi masalah kekurangan rambut pada bahagian depan kepala selain untuk penampilan diri sebagai artis.
"Kalau ikutkan rawatan ini dibuat pada Januari lalu, tapi jadual kerja pula tidak mengizinkan sehingga ia tertunda. Jadi, pada raya ketiga lalu saya ambil keputusan untuk buat rawatan ini sementara masih belum terbabit dengan penggambaran.
"Terlebih dahulu saya berjumpa doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat. Selepas itu baru doktor mencadangkan bahagian mana yang perlu ditanam. Macam saya, bahagian depan memang bermasalah jadi kena tanam banyak. Bahagian tengah pula membabitkan 300 helai saja. Keseluruhan 4,083 helai digunakan dengan kos RM6 sehelai.
"Walaupun perlu berhabis lebih RM24,000, tapi bagi saya ia berbaloi dibuat demi kerjaya. Saya anggap ini pelaburan buat diri saya sebagai pelakon. Selain untuk penampilan, ia juga menjadikan saya lebih berkeyakinan," katanya kepada Harian Metro.
Riz yang juga pelakon Polis Evo 2 berkata, dia membuat rawatan itu selepas melihat hasil daripada beberapa rakan artis yang melakukan prosedur sama.
"Dulu sewaktu remaja tidak ada masalah pun sebab rambut saya tebal. Lama kelamaan, saya perasan rambut bahagian depan makin berkurangan. Mungkin disebabkan faktor gaya hidup, pemakanan, tidur dan genetik.
"Apatah lagi kalau berlakon sangat ketara. Jadi, saya mula bertanya pada rakan artis yang pernah buat seperti Norman Hakim, Syafie Naswip dan beberapa lagi. Sebelum itu, saya ada juga membuat kajian dan pembacaan sendiri.
"Sekarang, saya hanya perlu disiplin dari segi ubat. Alhamdulillah, bengkak di muka juga semakin berkurang. Ia memang perkara biasa kerana kesan bius ketika rawatan dibuat," katanya.