Zizi Kirana dihina sebab kulit saya gelap




BULI bukan satu perkara yang boleh diambil ringan kerana ia mampu mengganggu emosi dan mental seseorang yang pernah menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral itu.

Bagi penyanyi, Zizi Kirana, dia bangkit dan berkongsi pengalamannya menjadi mangsa buli ketika zaman remaja.

Menurut penyanyi lagu Eh itu, dia sering diejek dari segi bentuk fizikal dan warna kulitnya ketika berada di alam persekolahan.

"Ketika zaman remaja, saya sendiri berdepan situasi di mana menjadi mangsa buli di sekolah.

"Pelbagai kata-kata kurang baik dilemparkan kerana fizikal saya antaranya dihina berikutan warna kulit saya yang gelap dan digelar jongang serta gigi arnab," katanya.

Itu semua pada awalnya membuatkannya rasa tertekan. Namun, Zizi bangkit dan terus menguatkan semangatnya untuk berdepan pembuli berkenaan.

"Bila dah meningkat dewasa, saya dah tak terlalu menghiraukan kata-kata dan sikap pembuli ini kepada saya.

"Tambahan pula, saya lebih selesa berkawan dengan lelaki dan mereka yang selalu membela saya," katanya.

Melonjak dewasa, dia kini berdepan pula dengan pembuli dalam kalangan warganet.

"Bila dah dewasa, buli itu datang dalam bentuk lain pula iaitu buli siber dan pelakunya adalah dalam kalangan warganet.

"Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada saya antaranya, mereka menuduh saya perempuan murahan. Paling parah adalah wujud antara warganet yang menganggap saya tiada pegangan agama.

"Tapi, tak jadi masalah sebab saya sendiri pun dah kebal dan imun dengan kata-kata daripada orang ramai," katanya.

Zizi bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada peminat dan penyokong yang sentiasa menyokong kerjayanya.

"Dalam 100 warganet, bukan semua bersikap pembuli kerana hanya 30 peratus sahaja. Selebihnya masih menyokong setiap aktiviti dan kerjaya saya

"Lebih penting, adalah keluarga serta rakan-rakan sentiasa ada di belakang saya dan menjadi sumber kekuatan. Nak layankan mulut warganet yang suka membuli, sampai bila pun tak habis," katanya.

Berkongsi mengenai isu buli, Zizi juga menerima banyak komen serta mesej daripada mereka yang pernah menjadi mangsa buli, selepas dia berkongsi keratan mengenai isu itu di Instagram.

"Rata-rata, ramai yang berkongsi pengalaman mereka dibuli ketika zaman kanak-kanak dan remaja. Ada yang sampai tahap trauma dan tak mahu berkawan dengan orang kerana terlalu takut.

"Apa yang boleh saya katakan adalah jangan hiraukan pembuli terbabit kerana mereka mempunya masalah hati dan jiwa. Justeru, menjadikan orang lain sebagai tempat melepas geram.

"Orang begini juga sebenarnya tidak gembira dan tidak bahagia dengan kehidupan mereka. Jadi, mereka tak suka melihat orang lain bahagia," katanya.

Zizi juga menyeru supaya mereka yang pernah menjadi mangsa buli tidak mudah putus asa untuk meneruskan kehidupan.

"Jangan putus asa dan berputus harapan dengan kehidupan. Sentiasa jadikan kehidupan kita lebih positif dan jangan biarkan orang luar yang kita tak kenal, mengawal kehidupan kita," katanya.

Teruja buat persembahan dengan M Nasir

Terbaru, Zizi bakal berkongsi pentas dengan penyanyi legenda, Datuk M Nasir dalam satu acara konsert yang akan berlangsung di Istana Budaya.

"Insya-Allah, pada 17 dan 18 Julai ini berlangsung Konsert New Normal di Istana Budaya dan saya dijemput untuk membuat persembahan.

"Yang membuatkan saya rasa gemuruh adalah apabila diminta berduet dengan penyanyi ternama seperti (Datuk) M Nasir dan tentunya saya perlu melakukan persiapan terbaik," katanya.

Selain itu, Zizi juga bakal muncul dengan lagu baharu sebagai penampilan khas untuk salah satu lagu dimuatkan dalam album Edy Gerhana Ska Cinta.

"Judul lagunya masih dirahsiakan. Tapi, apa yang saya boleh kongsi, ia sebuah karya lagu bahasa Inggeris dengan rentak balada," katanya.

Previous Post Next Post