Gambar Aishah Azman mengenakan pakaian serba putih atas pelamin menimbulkan tanda tanya sudah menemui pengganti bekas tunang.
Sekeping gambar mengenakan pakaian serba putih bak pengantin sehari di atas pelamin yang dikongsikan pelakon, Aishah Azman, 24, dalam entri Instagram (IG) mencetuskan tanda tanya, baru-baru ini.
Dengan kapsyen bertulis 'Alhamdulillah... selangkah lagi' berserta emoji cincin, gambar yang dimuat naik Aishah mengundang perhatian ramai pengikut yang mengucapkan tahniah kepada pelakon yang mula dikenali menerusi drama, Mencintaimu Mr Photographer dan Isteri Dalam Sangkar itu.
Tiada angin dan ribut, ramai terkejut Aishah atau nama sebenarnya, Nor Aishah Afika Azman Shah berkongsi gambar pertunangan. Pastinya terbit pertanyaan siapakah gerangan jejaka pilihannya, selepas gagal dalam perhubungan bersama pelakon, Syafie Naswip.
Terkejut saat diaju pertanyaan, adik kepada pelakon Afiq Muiz itu berkata, gambar berkenaan adalah babak lakonannya dalam drama terbaharu.
"Ya Allah, gambar berkenaan untuk drama Kelmarin Cinta arahan Jamal Khan untuk siaran TV Okey.
"Ia tiada kaitan dengan majlis pertunangan. Setakat ini, saya ingin memberikan fokus kepada kerjaya dan keluarga," katanya.
Sebelum ini, Aishah pernah membuat pengakuan tidak serik mahu bercinta lagi, meskipun berdepan dengan episod ikatan pertunangan dengan Syafie terlerai di pertengahan jalan.
Impian Aishah melangkah ke alam perkahwinan tidak kesampaian apabila ikatan pertunangan dengan hero filem Mukshin itu hanya bertahan selama dua bulan.
Namun, katanya, dia masih belum terfikir mahu mencari pengganti, sebaliknya membiarkan masa menentukan segala-galanya, lebih lagi terlalu sibuk dengan jadual lakonan.
Gadis kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu berkata, dia tidak pernah menutup pintu hati buat seorang bernama kekasih.
"Saya tak serik, jauh sekali menganggap semua lelaki 'tidak guna'. Saya tak takut nak bercinta, cuma perlu lebih berhati-hati dengan lelaki. Apa salahnya berkahwin pada usia yang muda, jika lelaki yang hadir lebih baik daripada sebelum ini?
"Bagaimanapun, buat masa ini, saya mahu memberikan tumpuan terhadap kerjaya. Mungkin tiga atau empat tahun lagi barulah memikirkan soal jodoh.
"Saya sentiasa berdoa supaya dipertemukan dengan lelaki yang menghormati ibu saya, komited dalam kehidupan, berpendirian dan ada latar belakang agama. Saya sukakan lelaki yang tinggi. Rasanya, kekayaan dan pangkat adalah sekadar bonus. Saya tidak meletakkannya sebagai keutamaan," katanya.
Pelakon filem Sangkar itu berkata, dia bersyukur rezekinya tidak pernah putus selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Alhamdulillah, rezeki tak pernah putus selepas PKP. Sekarang ini, saya sibuk di lokasi penggambaran drama Kelmarin Cinta.
"Drama ini menggandingkan saya bersama Shukri Yahaya, Sharifah Husna dan Reen Rahim," katanya.