Ismail Izzani sengaja tayang tubuh?





Muncul dengan single baharu berentak R&B dan hip hop berjudul Ada Cara, Ismail Izzani mengubah penampilan diri menjadi lebih 'sado'.

Mahu tampak lebih segar dan matang, Ismail kembali ke gimnasium dan mengubah fizikal menjadi lebih sasa.

"Sebenarnya, saya sudah lama membina badan tetapi berhenti sekejap. Apabila berhasrat untuk tampil dengan imej baharu, saya fikir, mengapa tidak kembali ke gimnasium.

"Lalu, saya kerap ke gimnasium, berlatih dan menjaga pengambilan pemakanan. Saya tidak mahu orang nampak Ismail Izzani seperti budak yang dahulu. Saya mahu mereka lihat diri ini yang lebih matang," katanya.

Namun, leka berkongsi rutin di gimnasium, Ismail akhirnya dituduh menayang badan di laman sosial.

"Bukan saya sengaja, ada artis lain juga, jadi ia bukan isu. Sebenarnya, entri yang saya muat naik itu adalah motivasi kepada orang di luar.

"Ramai bertanya bagaimana saya membina badan. Jika kita lihat pada sudut positif, ia adalah motivasi yang baik bagi pengikut saya," katanya yang mahu konsisten dengan imej itu.

Ismail berpendapat, jika konsisten bersenam di gimnasium dan menjaga pemakanan, ia dapat membantu dirinya menjadi lebih berdisiplin.

Mengulas mengenai single Ada Cara, remaja berusia 20 tahun itu berkata, lagu berkenaan menonjolkan sisi berbeza dirinya.

"Ramai tahu saya sinonim dengan lagu pop seperti Sabar. Namun, itu hanyalah 60 peratus diri saya. Genre utama saya adalah R&B dan itu yang saya mahu sampaikan dalam Ada Cara.

"Lagu Sabar adalah zaman saya 'budak-budak'. Melalui lagu baharu ini, saya mahu tonjolkan kematangan diri daripada segi imej dan muzik.

"Ini adalah masa yang sesuai untuk permulaan baharu bagi Ismail Izzani," katanya.

Ismail berkata, single Ada Cara yang akan dilancarkan lusa, siap tahun lalu, namun, ketika itu, dia kurang yakin melancarkannya.

Bercerita mengenai lagu itu, kisah dipaparkan agak berat iaitu percintaan antara pasangan berbeza agama yang dialami rakannya.

Previous Post Next Post