Keith Foo kembali ke Indonesia




Dua tahun memilih untuk berehat panjang dengan memperlahankan rentak dalam dunia lakonan bukan bermakna pelakon, Keith Foo 'pusing' dengan konflik rumah tangga, sebaliknya demi memberikan tumpuan kepada anak tunggalnya, Skylar Raymond Foo yang kini berusia tiga tahun.

Kerap menepis isu rumah tangga yang bertiup kencang, aktor yang meledak menerusi drama Ariana Rose itu akhirnya membuat pengakuan terbuka sudah berpisah dengan bekas isterinya, Kim Raymond sejak dua tahun lalu. Mereka bercerai secara rasmi hujung tahun lalu.

Bagaimanapun, demi Skylar, Keith dan Kim tetap akrab berkawan baik dan lebih mengutamakan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak tersayang.

Bagi Keith, sudah masanya kembali ke dunia lakonan selepas sekian lama berehat. Sebelum ini, dia tak mampu berjauhan dengan Skylar, tetapi kini sudah tidak kisah berenggang seketika demi meneruskan bakat seni.

"Jika ikutkan, sayang melepaskan momen yang pernah dikecapi. Penangan drama Ariana Rose antara sesuatu keajaiban yang berlaku dalam hidup saya. Gandingan saya bersama Nur Fathia Abdul Latiff disukai ramai.

"Cuma, pada akhirnya hidup ini berbalik kepada soal pilihan. Saya tak menyesal melupakan seketika dunia lakonan demi memberi tumpuan kepada keluarga. Anak masih kecil ketika itu.

"Sebagai bapa, saya tak mahu melepaskan momen manis menyaksikan anak membesar depan mata. Begitu cepat Skylar membesar dan ia satu fasa yang cukup bernilai," katanya.

Keith atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chin percaya, 2020 menjadi masa terbaik untuk kembali menyerlah di pentas dunia seni.

"Selain anak mula membesar dan kian faham, saya pada mulanya menganggap angka 2020 sebagai detik terbaik meluncur kembali bakat.

"Cuma, tanpa diduga kita diuji pula dengan pandemik COVID-19. Namun, semuanya sudah tertulis. Ujian berlaku memberikan hikmah besar.

"Apa pun terjadi saya tak pernah ralat memulakan semula dari bawah. Suatu ketika dahulu sayalah hero. Tetapi, kini saya okay bertatih semula. Tawaran lakonan saya terima, tak kisah watak utama atau pembantu. Saya tak memilih kerana mahu mengembalikan kepercayaan penerbit dan stesen televisyen," katanya.

Pelakon kacukan India, Cina itu berkata, dia menerima banyak tawaran selepas kembali ke dunia lakonan. Malangnya, pandemik COVID-19 menyerang menyebabkan kerja tertangguh.

"Jadual banyak berubah termasuk tarikh penggambaran. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sempat melunaskan penggambaran drama 20 episod. Sekarang, saya masih menunggu waktu untuk kembali menyambung penggambaran tertunggak," katanya.

Dalam pada itu, Keith yang pernah lebih sedekad melebarkan sayap seni di Indonesia turut memaklumkan menerima tawaran kembali ke negara seberang.

"Ada beberapa tawaran yang diterima termasuk daripada bekas pihak pengurusan. Cuma, semuanya masih belum dapat dipastikan lagi. Apatah lagi, kini kesukaran untuk ke Indonesia berikutan larangan merentas negara.

"Saya tak keberatan kembali ke Indonesia selepas keadaan stabil dan COVID-19 berlalu," katanya yang menjadikan tempoh berehat sebagai ruang terbaik menurunkan badan dengan pelbagai aktiviti kesihatan.

Previous Post Next Post