KRU Entertaiment akan lancar platform e-dagang, iLike





KRU Entertainment bakal tampil dengan platform e-dagang dikenali sebagai iLike dan akan dilancarkan bermula 11 Oktober ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim berkata, itu adalah salah satu transformasi KRU Entertainment yang digelar sebagai KRU 5.0.

"Platform iLike adalah satu platform e-dagang yang kami rancang sejak September tahun lalu dan kini memasuki fasa terakhir sebelum dilancarkan. Ini adalah platform untuk membantu golongan berpengaruh seperti artis, ikon dalam pelbagai bidang bahkan 'influencer' mikro untuk mempromosikan produk mereka secara online.

"Bukan hanya produk yang dikeluarkan oleh golongan ini, mereka juga boleh bekerjasama dengan usahawan-usahawan tempatan untuk mempromosikan produk sedia ada dan secara tak langsung, membantu meningkatkan ekonomi," katanya.

Tambah Norman, ini adalah sebagai transformasi yang disesuaikan dengan peredaran zaman dan idea ini tercetus apabila dia melihat sendiri penjualan tiket konsert-konsert yang kini sudah dijual secara online.

"Dalam zaman teknologi seperti hari ini, kita sebagai masyarakat perlu mengikut arus peredaran zaman dan menggunakan teknologi seperti e-dagang. Bukan saja ia dapat membantu menaikkan nama artis, tetapi juga produk-produk yang dijual.

"Dulu, kalau KRU adakan konsert, kami akan tengok kaunter jualan tiket terus dari tingkap hotel untuk tengok berapa ramai orang yang beratur membeli. Sekarang, semuanya sudah dijual secara online dan lebih mudah. Jadi, dari situlah tercetusnya idea untuk mewujudkan iLike ini," katanya.

Setakat ini, sudah ada 20 selebriti yang menunjukkan minat untuk menyertai iLike.

"Platform ini bukan saja dibuka untuk artis-artis yang bernaung di bawah KRU Entertainment, tetapi untuk semua. Setakat ini, dah ada 20 artis yang menunjukkan minat antaranya, Zamani yang mengeluarkan produk syampu.

"Insya-Allah, selepas ini akan ada produk-produk yang Islamik atau yang lebih fokus kepada pengguna Islam akan kami keluarkan," katanya.

Previous Post Next Post