Didakwa curang, Syamsul Yusof mahu saman YouTubers





Pengarah, pelakon dan penyanyi Syamsul Yusof berang dengan dakwaan mengatakan dirinya curang dengan isteri Puteri Sarah Liyana.

Sehubungan itu Syamsul, 36, berkata dirinya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap satu akaun YouTube kerana menimbulkan fitnah dan kepincangan dalam keluarganya, semata-mata untuk meraih perhatian penonton.

“Ini sudah melampau. Jangan main-main dengan nama saya. Tolong orang hormati orang. Saya ada keluarga dan anak-anak.

“Orang tengah ada masalah kau fikir kau punya penonton,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Instagram.

Di dalam video itu Syamsul menunjukkan sebuah akaun YouTube “Cabik Geronong” yang memuat naik kandungan bertajuk “Tak Sangka! Rupaya Syamsul Yusof curang dengan Puteri Sarah”.

“Saya akan dapatkan peguam terbaik. Jangan layan artis Malaysia macam sampah. Saya tidak akan teragak-agak (saman),” katanya.

Sebelum ini spekulasi rumah tangga pelakon filem Munafik itu hangat diperkatakan selepas Puteri Sarah dilihat hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, ditemani seorang wanita dipercayai ibu mentuanya.

Namun sehingga kini Syamsul dan Puteri Sarah masing-masing enggan mendedahkan cerita sebenar kepada umum.

Pasangan itu berkahwin pada Mac 2014 dan memiliki dua anak iaitu Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah, 1.

Previous Post Next Post