Wany Hasrita Saya tak ada dimaklumkan kena daftar untuk royalti pun

Penyanyi, Wany Hasrita memaklumkan belum pernah menerima bayaran royalti daripada mana-mana badan atau organisasi yang menyelenggara royalti artis sejak menjejakkan kaki dalam industri seni pada 2016.

Menurutnya, dia sendiri tidak pernah mendaftar dan menjadi ahli di bawah mana-mana organisasi pengurusan royalti.

"Saya sendiri pun tidak berdaftar di bawah mana-mana organisasi yang menguruskan royalti artis, jadi saya tak pernah terima sebarang bayaran royalti daripada mereka

"Saya tak ada dimaklumkan mengenai pendaftaran untuk royalti atau apa-apa pun," katanya.

Menurut penyanyi lagu Canggung itu lagi, dia hanya menerima royalti daripada syarikat rakaman dan pengurusannya, FMC Music.

"Yang saya terima adalah bayaran royalti daripada pihak FMC Music sendiri setiap tiga bulan. Alhamdulillah, setakat ini semua pembayaran dibuat mengikut waktu yang ditetapkan," katanya.

Sejak beberapa hari lalu, Harian Metro melaporkan mengenai beberapa artis yang bersuara mengenai bayaran royalti yang tidak diterima.

Terbaharu, Wany kini sedang menjalani kuarantin selepas menjalani ujian 'swab' pada 22 November lalu dan akan menjalani ujian darah pada Jumaat ini.

Previous Post Next Post