Haqiem Rusli enggan peduli

Penyanyi Haqiem Rusli enggan mengambil pusing mengenai tindakan pelakon utama drama bersiri Bidadari Salju, Adam Lee dan Sweet Qismina  menolak untuk berlakon dan muncul dalam muzik video single terbaharunya, Mimpi pada saat-saat akhir.

Haqiem berkata, dia kurang jelas mengenai permasalahan yang timbul sebaliknya bersyukur Mimpi diangkat sebagai runut bunyi drama yang kini ditayangkan di slot Akasia itu.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku kerana pihak produksi yang berhubung dan berurusan dengan mereka. Apa yang pasti saya sudah menyatakan pendirian saya bahawa jika ada pelakon atau model wanita yang ingin ditampilkan dalam muzik video saya, mereka perlulah bertudung (menutup aurat). Jika tidak, maaf saya tidak setuju.

Terdahulu, pelakon itu dikatakan sudah tiba di lokasi penggambaran muzik video terbabit, namun dikatakan berlaku masalah komunikasi menyebabkan mereka meninggalkan lokasi penggambaran dan terpaksa digantikan dengan model lain. 

Difahamkan, isu terbabit mempunyai kaitan dengan pemakaian tudung seperti dimahukan Haqiem dalam muzik video terbabit. 

Haqiem berkata, dia tidak mahu memanjangkan isu yang berlaku sebaliknya menganggap setiap yang berlaku sudah ditentukan-Nya.

"Saya tak mahu ulas lanjut mengenai isu ini kerana saya kurang jelas apa yang berlaku kerana urusan pelakon terbabit diuruskan sepenuhnya oleh pihak produksi. Tambahan pula mereka memang pelakon dalam drama 28 episod  itu dan lagu Mimpi menjadi runut bunyi untuk drama terbabit. 

"Bagi saya tidak menjadi masalah dan akan lebih meriah jika mereka sudi untuk turut serta dalam muzik video saya. Semua perkara Allah yang tentukan. Mungkin bukan rezeki saya untuk bersama mereka dalam muzik video Mimpi. Jadi saya okey saja, tidak marah atau  berkecil hati. Apapun  saya berterima kasih kerana mereka ada niat untuk bantu saya menjayakan muzik video ini," katanya.

Selain Adam dan Sweet, drama terbitan A Aida Production itu turut dibintangi Zaki Azeman dan Chacha Maembong.

Previous Post Next Post