Ketegasan Hansen pikat hati Sharifah Sakinah

Sikap 'gila-gila' dan 'sekepala' menjadikan perhubungan cinta Sharifah Sakinah, 32, dan jejaka Sweden, Michael Hansen, 42, kian mekar.

Sakinah dan tunangnya, Hansen dilihat bagaikan 'magnet' dalam memupuk perhubungan cinta, sejak awal lagi. Foto mesra yang dimuat naik dalam laman Instagram (IG) menggambarkan hati sedang berbunga cinta.

Mereka juga tidak begitu lama mencari titik keserasian, sekali gus memutuskan untuk mengakhiri perhubungan dengan fasa perkahwinan, tahun ini. Mereka mengikat tali pertunangan, penghujung tahun lalu.

Sakinah menyifatkan bakal suaminya itu amat menyenangkan dan matang dalam melayari perhubungan.

"Pusat gimnasium menemukan kami. Saya dan Hansen suka bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Hansen boleh menangani kenakalan dan perangai gila-gila saya. Saya pula menghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dan disleksia tahap ringan.

"Bukan mudah mengawal kepala gila-gila saya, tetapi Hansen mampu melakukannya. Saya melihat Hansen juga berperangai 'masuk air' seperti saya. Hinggakan kakak, Sharifah Shahira pun boleh melayan kerenahnya.

"Namun, di sebalik perangai gila-gila, Hansen seorang yang tegas. Paling penting, memiliki sikap kebapaan dan matang. Mungkin disebabkan Hansen juga bapa kepada dua cahaya mata, jadi sikap tanggungjawab dan mementingkan keluarga ada dalam dirinya," katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Girlfriend Aku Dari Neraka dan Aku Yang Kau Gelar Isteri itu berkata, tidak timbul mengenainya memilih lelaki asing sebagai pasangan hidup.

"Tak kiralah berkahwin dengan lelaki Melayu atau apa-apa bangsa sekali pun, pada akhirnya ia berbalik kepada keserasian dan kebahagiaan apabila bersama orang disayangi.

"Mungkin perkenalan kami agak singkat, tetapi saya percaya soal keserasian lebih utama," katanya.

Sakinah berkata, dia belum dapat memberi kata putus mengenai tarikh perkahwinan yang bakal dilangsungkan.

Katanya, mengikut perancangan, majlis akan berlangsung pada 28 Mei depan sempena ulang tahun. Mereka berkongsi tarikh lahir yang sama.

Namun, katanya, segala-galanya bergantung kepada perkembangan semasa situasi pandemik COVID-19.

"Berkahwin bukan sahaja penyatuan dua hati, tetapi membabitkan dua keluarga. Saya dan Hansen tidak mahu majlis sekadar berlangsung secara virtual.

"Jika boleh, kami mahu ahli keluarga dapat menyaksikan dan meraikan hari bahagia kami. Tetapi, sekarang hanya majlis skala kecil sahaja dibenarkan ketika pandemik COVID-19.

"Biarpun ini perkahwinan kedua, tetapi ia tetap bermakna buat saya dan Hansen. Kami mahu keluarga dan teman rapat dapat menyaksikan penyatuan dua hati ini," katanya.

Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata, majlis yang dirancang serba ringkas, tetapi memahat memori indah.

"Saya berkahwin dengan jejaka Sweden, jadi Hansen mahu anak-anak dan keluarganya hadir pada majlis perkahwinan kami.

"Bagaimanapun, tarikh nikah dan lokasi perkahwinan masih belum dapat dipastikan. Ia juga bergantung kepada pintu sempadan dibuka. Besar harapan keluarga Hansen datang ke sini meraikan majlis bersejarah kami.

"Jika tidak, nampak gayanya, saya dan keluarga perlu terbang ke Sweden. Apa juga kebarangkalian, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dalam membuat setiap keputusan. Ini termasuklah kena melalui proses kuarantin dan mengambil suntikan vaksin," katanya.

Mengenai kerjaya lakonannya, Sakinah dipuji dan dikecam apabila membawa watak Laila dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri arahan Shuhaimi Lua.

Drama menghiasi slot Samarinda TV3 itu turut dibintangi Datuk Adi Putra, Lana Nodin, Nadia Brian, Kuza, Atiq Azman, Jasper Supayah, Zaki Azeman dan ramai lagi. Ia turut boleh ditonton menerusi TV3 dan platform iQIYI.

"Naskhah ini sangat mengujakan saya. Ia berpaksikan seram, cinta dan ilmu hitam. Cuma, ada beberapa peratus babak dalam drama tidak lepas untuk tontonan selepas ditapis Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Saya memang kecewa sebab usaha tanpa kira penat mahu menghidupkan jalan cerita kena 'sailang'. Bagaimanapun, saya tetap puas kerana watak Laila mengundang kebencian ramai.

"Tidak kurang juga memuji, hingga drama diperkatakan ramai. Ia adalah kejayaan kerja satu pasukan, bukan hanya saya sahaja," katanya.

Previous Post Next Post