Dituduh pakai susuk, Ayu Damit anggap kelakar

Penyanyi, Ayu Damit menganggap tindakan seorang individu yang menyebarkan fitnah kononnya dia memakai susuk untuk kelihatan cantik bukanlah sesuatu yang serius.

Ayu, 32, juga memaklumkan tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.

"Beberapa pihak termasuk peminat minta saya saman individu ini sebagai pengajaran tapi saya malas nak ambil serius.

"Tuduhan individu berkenaan agak kelakar kerana saya dikatakan pakai susuk sebagai pemanis wajah agar nampak berseri.

"Namun, pemakai susuk ada pantang larangnya iaitu tak boleh makan sate. Sedangkan saya sendiri buat sate untuk restoran milik saya, Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa," katanya yang ditemui pada sidang media pelancaran koleksi 9 Generasi, rekaan pereka fesyen Azirun Ramly.

Pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim ketujuh ini mengakui hairan kerana sering menjadi mangsa pihak yang seakan tidak berpuashati terhadap dirinya.

"Sesuka hati sahaja tuduh saya amalkan perbuatan karut ini. Mereka tak kenal siapa saya yang sebenarnya.

"Cuma saya akui berhabis lebih RM10,000 sebulan untuk dapatkan penampilan menarik bagi penjagaan diri daripada hujung rambut hingga kaki.

"Inilah masalah orang kita yang hanya suka sangat baca tajuk, tapi tak baca isi cerita sepenuhnya," katanya.

Mengulas aktiviti seninya, Ayu mengakui tawaran menyanyi tiada semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

"Namun saya bersyukur kerana pendapatan menerusi tanaman cili, timun dan kacang panjang menjadi dan memberikan hasil.

"Manakala restoran yang diusahakan masih bertahan walaupun dalam tempoh PKP. Namun tak dinafikan agak perit juga untuk bayar sewa.

"Apapun setiap apa yang diperolehi saya simpan untuk masa depan anak-saya. Tak mahulah mereka lalui hidup susah macam saya sebelum ini," katanya yang mempunyai tiga anak.

Previous Post Next Post