Raja Ilya enggan berbogel

Kontroversi silih berganti, nama pelakon seksi, Raja Ilya, 36, terus meledak dengan isu menolak tawaran berbogel dan beraksi panas dalam drama terbitan platform penstriman, Netflix.

Biarpun selesa dengan imej seksi, namun pelakon kacukan Melayu, Arab dan India itu tetap bertegas dalam soal membabitkan maruah.

Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad mendedahkan mengenai tawaran yang diterima membabitkan sebuah drama terbitan Netflix yang memerlukannya berlakon tanpa seurat benang dalam laman Instagram (IG) TV, baru-baru ini.

"Jika ikut keghairahan hati dan tidak berfikir panjang, saya memang mahu menembusi pasaran antarabangsa. Saya nak ikut jejak Tan Sri Michelle Yeoh. Namun, saya tak fikir banyak kali kalau sampai tahap kena bogel, jawapannya tidak!

"Hinggakan ada seorang rakan berseloroh, lebih baik berlakon cerita porno. Saya masih tahu menjaga batasan sebagai isteri dan wanita.

"Mungkin orang luar boleh melemparkan tanggapan saya selesa dengan penampilan seksi, jadi apalah sangat jika nak berbogel. Berpakaian seksi hanya imej yang kita nampak secara zahir, tetapi ia situasi yang berbeza jika mahu berlakon tanpa seurat benang," katanya kepada BH Online.

Aktres kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, jika ada yang menganggap babak panas hanya atas paksi seni, ia terserah pada pandangan masing-masing.

"Saya belum terdesak mahu mengejar nama dan populariti di peringkat antarabangsa dengan mengenepikan soal maruah dan prinsip. Saya ada suami dan keluarga yang perlu dijaga hati dan perasaan," katanya.

Ilya yang kini sudah setahun menetap di Perth, Australia berkata, bukan setakat Netflix, malah mini siri dalam HBO turut menawarkannya melakonkan adegan panas.

"Sekalipun ada pakaian khas disediakan untuk babak panas, saya tak selesa. Saya anggap bukan rezeki.

"Jika Tuhan cakap ada peluang lain, insya-Allah tak ke mana. Orang Asia bertuah kerana lambat nampak tua. Jadi, ejen yang melakukan uji bakat masih meletakkan saya dalam kategori watak lingkungan usia 19 hingga 40 tahun," katanya.

Dalam pada itu, Ilya berkata, dia juga enggan larut dengan kecaman netizen yang menganggap pendedahannya sebagai 'auta'.

"Saya tahu ramai sangsi ketika saya mendedahkan tawaran watak Kamala Khan dalam filem Miss Marvel terbitan Marvel Studios, beberapa tahun lalu.

"Nama saya memang disenarai pendek, tetapi netizen menuduh saya menipu menerima tawaran dalam filem francais mega, Amerika Syarikat itu.

"Dalam isu ini, saya tidak boleh memaksa netizen untuk percaya atau sebaliknya. Terserahlah, lagi pun buat apa saya nak mereka cerita tidak benar," katanya.

Ilya berkata, dia tidak perlu membuktikan apa-apa kepada netizen yang menganggapnya menipu.

"Saya okay sahaja jika nak menghakimi atau mengecam. Saya bangga menerima tawaran daripada produksi Hollywood, ia atas inisiatif saya sendiri dalam membina rangkaian.

"Saya juga menghantar video uji bakat untuk filem Star Wars: The Rise of Skywalker dan Jurassic World, namun hingga kini, belum ada maklum balas," katanya.

Previous Post Next Post