Saif Yunus Tiada niat nak dikenali

Pelakon iklan judi raya, Saif Yunus menafikan pembabitannya dalam iklan itu dirancang semata-mata untuk tular dan meraih populariti.

Saif, 24, atau nama sebenarnya Saifullah Mohd Yunus berkata, dia tidak tahu menahu mengenai iklan itu kerana pada awalnya ditawarkan untuk membintangi iklan hari raya.

"Sejujurnya tidak ada niat nak dikenali. Saya memang tidak tahu menahu mengenai iklan ini pada awalnya sehingga ia tular. Selepas itu baru tahu perkara ini sangat teruk sebab ia membabitkan kesucian agama Islam.

"Perkara ini saya tidak dirancang malah jauh sekali untuk tujuan promosi diri semata-mata untuk tular dan dikenali. Kalau tahu dari awal mengenai kandungan iklan ini, memang saya tolak. Saya orang Islam dan tahu soal halal dan haram," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah pihak syarikat penerbitan meminta maaf kepada dirinya dan pelakon lain, Saif berkata pihak terbabit hanya membisu.

"Syarikat produksi tidak cakap apa pun, malah minta maaf pun tidak. Walaupun kami berjumpa di balai polis, mereka diam saja," katanya.

Menurut Saif, buat masa sekarang dia mengambil pendekatan untuk berdiam diri bagi meredakan keadaan.

"Sekarang ini saya memang di rumah saja dengan keluarga. Bagi semuanya bertenang dulu. Instagram pun tidak buka lagi.

"Dari awal perkara ini berlaku, keluarga dan rakan sentiasa ada di sisi dengan memberikan kata-kata semangat, yang mana tidak pernah dapat sebelum ini.

"Sampai saya nangis setiap kali berdoa pada Allah. Sebab kita tahu ujian yang berlaku ini daripada Allah SWT. Dalam hati saya serahkan semua pada Allah. Saya yakin selepas ini Allah nak bagi banyak lagi. Kalau tidak ada ujian, hidup akan menjadi tunggang langgang. Kita tidak akan ingat Allah. Insya Allah, apa berlaku ini pasti ada hikmah," katanya.

Terdahulu, Saif bersama lima pelakon lain dalam iklan itu sudah dipanggil bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada 16 April lalu.

Previous Post Next Post