Syafiq Kyle Kemurungan bukan soal remeh

Kini, gemerlapan populariti bukan lagi menjadi keutamaan aktor kacak, Syafiq Kyle selepas hampir sedekad menghayun langkah sebagai anak seni.

Apa yang lebih utama, aktor yang mula mengecapi meraih populariti menerusi drama Nur dan Mencintaimu Mr Photographer itu mementingkan kualiti karya berbanding glamor.

Jejaka yang berjaya menambat hati menerusi watak Ustaz Adam menerusi drama rantaian popular, Nur dan Nur 2 itu tidak kisah seandainya zaman kegemilangan bakal berakhir dengan kehadiran hero baharu.

Syafiq berkata, dia tidak pernah meletakkan diri sebagai pelakon popular, sebaliknya peminat yang melabelkannya selama hampir 10 tahun ini.

Justeru, kata Syafiq, dia tidak terasa seandainya timbul tanggapan zaman kegemilangannya bakal berakhir.

"Ini kali pertama saya diajukan pertanyaan mengenai zaman kegemilangan yang bakal berakhir. Sejujurnya, tujuan saya menyertai dunia seni hanya untuk bekerja.

"Saya seronok dengan tuntutan kerjaya seni yang dilakukan dan tidak pernah berasakan diri popular.

"Bagi saya, soal glamor dan popular adalah bonus. Saya sendiri tidak pernah cuba menaik atau menurun diri. Hingga kini, prinsip saya hanya untuk bekerja," katanya kepada BH Online.

Aktor yang pernah diangkat sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-32 itu berkata, dia sentiasa percaya dengan rezeki yang ditakdirkan.

"Selagi ada peluang bekerja dan mendapat watak, selagi itulah saya akan terus berada dalam bidang lakonan.

"Pada tahap sekarang, populariti bukan lagi menjadi keutamaan. Saya lebih memikirkan soal masa depan.

"Apa yang ingin dilakukan dan dengan siapa saya mahu bekerja. Saya juga lebih fokus kepada karya dan karakter yang ingin dilakonkan setiap kali muncul di kaca televisyen (TV).

"Bagi saya, itu lebih penting daripada memikirkan apa yang saya ada atau sebaliknya. Ini kerana saya percaya populariti akan datang dan pergi begitu sahaja. Namun, hasil kerja yang baik akan terus diperkatakan," katanya.

Syafiq ditemui pada sidang media secara virtual drama terbaharu, Suara Hati, baru-baru ini. Selain Syafiq, drama Suara Hati siaran Astro Prima turut dibintangi Hanna Aqeela dan Aidil Aziz.

Akuinya, dia tidak pernah rasa tergugat dengan kehadiran hero baharu yang lebih muda dan kacak.

Katanya, tiada sekelumit wujud perasaan iri hati atau cemburu, sebaliknya mengalu-alukan kehadiran wajah baharu dengan tangan terbuka.

"Saya mahu berpesan kepada pendatang baharu, mereka perlu mementingkan disiplin dan menjadikan pelakon berpengalaman sebagai rujukan.

"Jangan sesekali malu bertanya untuk belajar dan memperbetulkan kelemahan dalam lakonan," katanya.

Sementara itu, katanya, pelaksanaan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyebabkan banyak kerja seninya tertangguh. Syafiq juga tidak terkecuali mendapat tempias akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, anak jati Kuala Lumpur itu bersyukur mempunyai sandaran dari sudut perniagaan dan kempen dalam laman sosial. Ia sedikit sebanyak membantunya untuk terus bernafas.

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, dia tidak bimbang soal kewangan kerana sentiasa berpegang teguh kepada rezeki.

Namun, apa yang lebih penting adalah tahap kesihatan mental apabila berdepan dengan ujian kegetiran pandemik COVID-19.

"Mustahil tidak terjejas langsung, tidak banyak sikit tentulah saya turut merasa tempias. Bagi saya, apa yang lebih penting adalah mengutamakan kesihatan mental ketika ini.

"Soal makan cukup atau tidak, saya percaya kepada rezeki Allah. Semua orang sudah ditetapkan rezeki masing-masing," katanya.

Namun, aktor yang memenangi trofi Gandingan Serasi Filem Popular, ABPBH 33 bersama Mimi Lana menerusi filem Pusaka itu risau mengenai tahap kesihatan mental apabila berkurung di rumah dalam jangka masa yang lama.

"Apabila kesihatan mental terjaga, dari situ barulah boleh berfikir secara rasional dan melakukan perancangan sama ada kehidupan peribadi, kewangan dan lain-lain dengan baik.

"Kemurungan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang enteng dan dibuat main-main. Mental tidak kuat boleh menyebabkan pelbagai kebarangkalian boleh berlaku.

"Saya sedih melihat ada yang bertindak menoreh tangan atau menggantung diri disebabkan tekanan hidup. Ini bukan isu soal turun naik iman atau agama yang dianuti. Disebabkan itu, pentingnya kita memupuk kesedaran berkaitan isu kesihatan mental," katanya.

Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian, Anugerah Skrin Ke-22 itu berkata, dia akan cuba membincangkan topik kemurungan dalam laman sosial supaya dapat memupuk banyak kesedaran di kalangan masyarakat.

"Satu yang boleh kita amalkan adalah jangan berhenti berdoa dalam menghadapi kegetiran hidup ketika era pandemik ini.

"Percayalah, Allah tidak kejam dan akan menolong sesiapa sahaja yang tidak henti berdoa," kata Syafiq.

Syafiq berkata, dia bersyukur kesihatan mentalnya masih pada tahap baik, malah banyak menghabiskan masa bersama keluarga yang tinggal berhampiran dengannya.

"Saya tidak sunyi hingga boleh menjejaskan tahap kesihatan mental. Keluarga sentiasa ada bersama saya ketika mengharungi ujian pandemik ini," kata naib juara, pertandingan Hero Remaja 2011/2012 itu.

Previous Post Next Post