Amir Hassan dituduh songlap RM70,000

Penyanyi Amir Hasan, 24, terkejut namanya tiba-tiba hangat diperkatakan dan dituduh sebagai kawan baik yang songlap duit penyanyi Andi Bernadee RM70,000.

Amir atau nama sebenarnya Amir Abu Hasan berkata media sosialnya dibanjiri komen yang rata-rata mengaitkan namanya dengan kes itu sejak semalam.

"Semalam, saya terkejut apabila dapat banyak komen di Instagram. Apabila buka dan baca, semua cakap mengenai tuduhan tidak berasas itu.

"Setahu saya, individu yang menipu Andi itu adalah orang yang menguruskan kerjayanya. Sejak bila pula saya mengurus kerjaya Andi? Tak masuk akal!" katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi iShy itu berkata, dia juga sudah berhubung dengan Andi mengenai perkara itu.

"Selepas menerima banyak komen itu, saya terus hubungi Andi. Dia pun pelik dan tidak sangka andaian sebegitu boleh tercetus.

"Saya dan Andi memang rapat juga. Tapi kami sudah lebih setahun tak jumpa dan kali terakhir pada program Big Stage, tahun lalu," katanya.

Amir mengakui komen itu bagaimanapun tidaklah sampai menjejaskan emosinya. Cuma berharap andaian itu dihentikan segera.

"Apa yang pasti, itu bukan saya. Saya akan buat penjelasan juga nanti di media sosial supaya salah faham ini tidak berterusan," katanya.

Terdahulu, Andi tampil membuat laporan polis terhadap seorang individu didakwa melakukan pecah amanah dan 'songlap' wang miliknya sebanyak RM70,000, semalam.

Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, jam 10.30 pagi.

Andi berkata, wang itu adalah hasil pendapatan daripada dua projek membabitkan pelanggan besar untuk tahun ini.

Andi berkata, kejadian itu menyebabkan pendapatannya terjejas teruk.

Previous Post Next Post