Altimet lebih berhati-hati



PERNAH suatu ketika sekitar pertengahan bulan Mei tahun lalu, lagu Kalau Aku Kaya mencetuskan kemarahan penulis lirik dan penyanyi lagu itu sendiri, Altimet apabila lagu itu terlebih dulu diputarkan di radio sebelum tiba waktu yang sepatutnya.

Dijadualkan untuk diperdengarkan kepada umum selepas bulan Ogos tahun lalu bersama klip video yang memakan belanja lebih RM30,000, lagu Kalau Aku Kaya bagaimanapun telah bocor dan diperdengarkan kepada umum lebih awal.




Bagaimanapun, ada hikmah di sebalik kontroversi yang tercetus memandangkan lagu Kalau Aku Kaya telah tersenarai sebagai finalis untuk berentap pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL 28) pada 26 Januari ini.

Menilai sudut positif dan impak yang diterima menerusi lagu ciptaan Omar K dan Audi Mok, kata Altimet, dia tidak menyesal akan perkara yang telah terjadi sebelum ini.

"Tidak perlu menyesal pun dengan perkara yang sudah berlaku kerana ada hikmah di sebaliknya. Syukur Alhamdulillah lagu itu kini semakin diterima ramai dan sudah berjaya ke peringkat akhir AJL 28," ujar Altimet yang ditemui pada majlis sidang akhbar AJL 28 di Hotel Empire, Subang, Selangor baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai strategi pemasaran lagu-lagunya selepas ini, kata Altimet, dia akan lebih berhati- hati dan menitikberatkan aspek komunikasi bersama stesen radio.

"Lagu Kalau Aku Kaya bocor awal kerana ada sesetengah pihak yang terlebih efisien dan mungkin kerana pihak stesen radio terlalu teruja untuk putarkannya lebih awal.

"Biasanya selepas menghantar demo single kepada stesen radio, mereka akan memutarkan lagu tersebut selepas tiga bulan tapi tidak sangka pula lagu ini mendapat perhatian mungkin kerana rentaknya yang rancak dan lirik yang menarik.

"Saya memuji cara pemasaran industri muzik Korea yang akan mengeluarkan single serentak dengan klip video dan itu yang saya cuba lakukan untuk lagu tersebut tetapi malangnya perkara terjadi di luar kawalan," getusnya.

Altimet tidak menolak kemungkinan untuk berkolaborasi dengan Awi Rafael dalam beberapa buah lagu lain selepas ini memandangkan sudah serasi sepanjang merakam serta mempersembahkan lagu Kalau Aku Kaya bersama-sama.

Sementara itu, berkongsi persiapan menjelang peringkat akhir AJL 28 yang akan berlangsung dua minggu dari sekarang, Altimet memberitahu, sudah 30 peratus persiapan sudah dilaksanakan.

"Sasaran kami untuk menambah peminat lagu tersebut dan AJL 28 adalah platform terbaik. Kami akan melakukan sehabis baik walaupun banyak perkara belum disempurnakan.




"Janji kami, persembahan pada malam itu nanti akan menjadi santai seperti kita menikmati permainan video, sama juga personaliti kami yang masing-masing selamba.

"Istimewanya lagu ini kerana ia fleksibel dan boleh dimainkan dalam beberapa versi berbeza selain yang sering didengar di radio," katanya yang pernah mempersembahkan lagu ini dalam versi reggae, rock, hip hop dan akustik.

Lagu Kalau Aku Kaya akan berentap dengan 11 buah lagu lain antaranya Penglipur Lara, Takkan Terpisah, Tanda Tanya, Aku Pelat, Ikut Rentakku dan Bosan dalam AJL 28 pada 26 Januari nanti.

Acara itu akan disiarkan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil di saluran TV3 bermula pukul 9 malam. - KHAIRUL AMRI HASSAN.
Previous Post Next Post