Istana Budaya kembali dengan teater



Setelah dipenuhi dengan pelbagai konsert gah sepanjang 2013 berbanding aktiviti teater, pentas Istana Budaya (IB) kembali menyusun semula aktiviti tahunannya kali ini agar kedua-dua acara seni itu dapat diseimbangkan.

Memulakan persembahan pembuka tirai 2014, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, teater Bidasari akan dipentaskan. Ini merupakan sebuah cerita adaptasi daripada filem Bidasari, arahan Datuk Jamil Sulong lakonan Datuk Sarimah Ahmad dan Tan Sri Jins Shamsuddin sekitar 60-an.




Teater ini akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama lapan hari bermula 10 hingga 17 Februari ini di bawah pimpinan pengarah teater terkenal, Lokman Ghani.

Menurut Mohamed Juhari, beliau amat teruja dengan pementasan teater ini kerana selain menggunakan khidmat pengarah hebat, ia turut membariskan nama-nama besar bagi membawa watak-watak utama yang terdapat dalam naskhah itu.

"Antaranya ialah Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azura yang akan berpasangan sebagai Sultan dan Permaisuri. Selain itu, karya ini turut mempertaruhkan dua pelakon muda yang pertama kali akan beraksi di pentas IB iaitu Nur Fathia yang memegang watak sebagai Bidasari dan heronya pula adalah jejaka kacak dari seberang, Baim Wong yang membawa watak bernama Tengku Indra.




"Pada asalnya, watak Tengku Indra itu diberikan kepada Aiman Hakim Redza memandangkan keserasiannya berlakon bersama Nur Fathia, namun dia menolaknya kerana tidak bersedia lagi untuk memikul peranan besar di pentas teater, apatah lagi belum mempunyai pengalaman sebagai pelakon teater," katanya.

Sementara itu Lokman memberitahu, karya Bidasari bukanlah teater bangsawan. Meskipun diambil daripada naskhah klasik Melayu lama, ia diolah menggunakan konsep moden, sesuai dengan keadaan semasa agar menarik minat seisi keluarga termasuk kanak-kanak.

Melibatkan hampir 60 tenaga kerja dan dipentaskan selama dua jam, turut membintangi teater ini ialah Eby Yus, Radhi Khalid dan ramai lagi.
Previous Post Next Post