Pemilihan Baim Wong dipertikaikan



Keputusan Istana Budaya (IB) melamar aktor popular seberang, Baim Wong membintangi teater muzikal Bidasari yang bakal dipentaskan bulan depan, mendapat pelbagai reaksi.

Ada penggiat bertanya mengapa mesti ambil orang luar, apatah lagi naskhah yang diangkat ke Panggung Sari itu adalah filem klasik tempatan.

Mereka turut mempersoalkan adakah Baim tahu mengenai filem itu dan mampukah dia melakonkan watak utama sebagai putera raja dengan baik jika dia tidak pernah mengenali Bidasari yang diangkat dari puisi lama Syair Bidasari dilakonkan Datuk Sarimah Ahmad dan Tan Sri Jins Shamsuddin.




Sebelum ini sewaktu bertemu Ketua Pengarah IB, Datuk Muhamed Juhari Shaarani, kita sempat berbual perihal perkara ini.

Katanya, pada awalnya mereka memang mahu menampilkan pelakon tempatan muda dan popular sebagai tarikan untuk orang ramai kerana Bidasari bakal dipentaskan berkonsepkan bangsawan tetapi ada sentuhan kontemporari.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila Aiman Hakim Redza menolak kerana berasakan belum ada kemampuan untuk beraksi di pentas besar seperti Istana Budaya.

Pihak Istana Budaya dan produksi terbabit cuba mendapatkan beberapa pelakon lain, namun kebanyakannya sibuk dengan aktiviti masing-masing.

Tambah pula ada antara mereka ditempah awal untuk membintangi beberapa pementasan lain yang juga akan dipentaskan di dewan persembahan ‘gah’ itu.

Merujuk beberapa penggiat lain, Erma Fatima mencadangkan mengapa tidak mengambil Baim Wong memandangkan dia memang popular dan sinetron dibintangi diminati ramai di sini.

Sebaik ditanya kepada Baim, dia terus menunjukkan minat dan bersedia meluangkan masa sebulan bagi menjalani latihan sebelum pementasan.

Malah, hari ini dia datang ke Kuala Lumpur dan akan memulakan latihan esok.

Soal tahu atau kenal filem Bidasari bukan masalah kerana dalam tempoh sebulan ini, Baim akan cuba membiasakan diri.

Bagi Juhari, yang penting adalah keinginan dan kesungguhan.

Jelasnya, walaupun Baim bukan warga tempatan, dia melihat apa ditawarkan Erma sebagai peluang besar untuk menimba pengalaman.




Apatah lagi dia belum pernah berlakon teater di tanah kelahirannya.

Baim juga banyak kali bekerja dengan produksi tempatan.

Perkara itu bukan masalah buat dirinya.

Yang penting adalah kesungguhan.

Kita percaya peminatnya pasti mahu melihat bagaimana Baim berlakon dalam pentas teater tempatan.

Kalau sebelum ini pelakon luar seperti Aaron Aziz berlakon teater tempatan diterima baik, apa bezanya dengan Baim.

Tak baik ‘double standard’.
Previous Post Next Post