Fattah Amin Tak Salahkan Penonton



Pendatang baru, Fattah Amin, 24, mula dikenali menerusi drama bersiri slot Akasia TV3, ‘Playboy Itu Suami Aku’ (PISA) yang menyaksikan dia bergandingan dengan Nur Risteena Munim. Percubaan Fattah memegang watak utama dalam drama itu mendapat kritikan hebat. Ramai yang berpendapat jejaka ini nampak kaku atau dengan kata lain, nampak kayu.

Terpanggil untuk mengenali jejaka ini dengan lebih dekat, ARTISMELETOP mengatur pertemuan bersama mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini.

“Sejujurnya, saya enggan lagi bercerita mengenai komen yang mengatakan lakonan saya ‘kayu’ dan sebagainya. Nanti orang terus-terusan berkata mengenai perkara tersebut. Kalau boleh, saya mahu melihat ke hadapan. Saya mahu orang menunggu produk terbaru daripada saya.




Walau bagaimanapun, saya mengambil segala kritikan dan pendapat semua sebagai proses pembelajaran. Saya ambil sebagai satu pendorong untuk diri sendiri. Saya tak salahkan orang yang berkata negatif dan saya mengambil perkara itu sebagai suatu input positif,” kata pemilik nama penuh Abdul Fattah Mohd Amin ini.

Menurut Fattah, dia menimba ilmu lakonan daripada produksi ke produksi. Dia banyak mengambil inspirasi dan belajar dari pelakon-pelakon lain dengan melihat bagaimana mereka berlakon, gaya mereka membawakan sesebuah karakter, cara mereka melontarkan suara, pembawaan dialog dan sebagainya.

Karier Fattah baru sahaja bermula semenjak dia memenangi Pencarian Hero Remaja 2012. Sebagai seorang pendatang baru, kadangkala gosip atau kontroversi boleh menaikkan nama seseorang artis. Bersih daripada sebarang gosip berkaitan dengan cinta dan peribadi, Fattah mahu mengekalkan perkara itu dan mahu fokus terhadap karier.

“Saya belum punyai teman wanita, status saya masih solo. Bercakap soal gosip cinta dan peribadi, setakat ini saya belum terpalit dengan sebarang gosip. Kalau boleh saya mahu terus kekal begini dan terus bercerita mengenai karier sahaja.

Tetapi sebagai anak seni, saya tak boleh cakap tak mahu gosip kerana apabila ianya datang, kita sendiri tak boleh lari. Buat masa ini, kalau boleh saya mahu jauhkan tetapi jika ia datang, saya tak boleh mengelak,” ujar anak muda yang lahir pada 14 September 1990 ini.

Sukar Bahagikan Masa

Pelajar jurusan Pengurusan Filem di Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM ini juga mengakui sukar untuknya dalam mengimbangi masa dalam bidang pelajaran dan bidang seni dalam satu masa yang sama. Dek kerana itu, dia hanya akan mengambil satu tawaran lakonan pada satu masa sahaja.

“Susah sebenarnya mahu mengimbangi masa dalam bidang pelajaran dan lakonan. Saya harus bijak mengimbangi antara karier seni dan pelajaran. Selagi mampu, saya enggan menjejaskan pelajaran. Kalau boleh, saya mahu menghabiskan pengajian saya secepat mungkin. Pelajaran saya masih lagi berbaki dalam satu tahun setengah lagi,” ujar pemuda dari Kuala Lumpur ini.

Dalam perkembangan terbaru, Fattah bakal muncul menerusi sebuah drama bersiri arahan Syafiq Yusof bertajuk ‘Cinta Dari Marikh’. Drama bersiri 26 episod tersebut menggandingkan dirinya bersama Chacha Maembong, A. Galak, Amyza Aznan, Harun Salim Bachik dan ramai lagi. Menerusi drama bersiri tersebut, Fattah memegang watak sebagai Aiman, seorang jejaka yang jatuh cinta dengan makhluk asing dari Planet Marikh.

Gambar Fattah Amin
Previous Post Next Post