Scha Al-Yahya Semakin Feminin, Awal Ashaari Rasa Pelik



Sebagai suami, sedikit sebanyak gelagat si isteri yang sedang hamil pasti mencuit hati.

Pengalaman itulah yang yang kini dirasai oleh pelakon dan pengacara Awal Ashaari apabila dia menceritakan perubahan yang berlaku pada isterinya, aktres Scha Al- Yahya yang kini kandungannya sudah hampir lima bulan.

“Saya tak pernah rasa pelik macam ni… Ish! Rasa macam kahwin dengan orang lain! Memang lain, semua orang tahu Scha adalah jenis orang yang lasak tetapi sejak dia disahkan hamil, perubahan yang berlaku tu buat saya rasa pelik.

“Mana tidaknya, dia berubah menjadi lebih ‘feminin’… Selama ini tak pernah langsung suka beli bantal yang berbunga atau kasut berwarna pink , sekarang pantang nampak sikit mesti nak beli.

“Satu lagi, dia berubah menjadi seorang yang lemah lembut dan penyabar, kadang-kadang bila teringat atau terfikir saya rasa lucu juga, macam ni rupanya perubahan seorang isteri bila sedang hamil.

“Setakat ini saya baik-baik sahaja, tak ada pula rasa sakit kepala, mual atau mengidam… Saya faham juga kadang-kadang si suami pun terkena tempiasnya tapi nasib baik saya ‘okay’,” katanya ketawa.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari ini memberitahu mereka masih belum membuat persiapan untuk menyambut kelahiran anaknya.




“Perasaan berdebar tu belum lagi ada mungkin sebab jaraknya masih jauh, saya rasa perasaan itu akan timbul bila Scha dah hampir nak bersalin nanti... Tak boleh nak bayangkan, mesti saya cemas.

“Kalau dari segi persiapan, kami masih belum beli apa-apa lagi sebab Scha tak mahu beli awal-awal.

“Dia kata tunggu masuk tujuh atau lapan bulan nanti baru beli.” ujarnya.

Tambah Awal lagi, mereka masih belum membuat imbasan jantina anak mereka.

“Sebenarnya sebelum ini kami pernah buat imbasan, tapi masa itu kandungan Scha baru mencecah 14 minggu. Masa tu memang tak nampak lagi jantina anak kami.

“Lepas pada itu, Scha belum buat apa-apa imbasan lagi… Kami terima apa sahaja pemberian Allah kepada kami…

“Alhamdulillah, lagipun kami dah tunggu lama untuk mendapat rezeki ini… Scha pun memang berhati-hati dan dari segi pemakanan memang dia jaga betul-betul,” tambahnya.
Previous Post Next Post