Yusof Haslam bangga


Datuk Yusof Haslam

Konsert Teaterikal Suara Kita yang akan bermula 3 Mac ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur bakal mengimbas kembali kenangan terhadap kejayaan menggilap bakat Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain sebagai pelakon.

Bagai dejavu, produser tersohor Datuk Yusof Haslam adalah antara individu yang paling berbangga sekali dengan pencapaian ketiga-tiga bintang filem asuhannya.

Perasaan bangga Yusof tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila ketiga-tiga bintang itu berjaya meneruskan legasi mereka sebagai penghibur tanah air dan kekal diminati sehingga ke hari ini.

"Selepas hampir 20 tahun filem Sembilu muncul di pawagam, ia masih memberi satu kenangan menarik buat saya. Sampai ke hari ini, ketiga-tiga mereka berjaya mengekalkan kecemerlangan sebagai anak seni.

"Pada awal kerjaya mereka adalah penyanyi. Oleh kerana saya yakin dengan bakat yang ada pada diri mereka, saya berani mencuba dan melakukan eksperimentasi bakat mereka ke dunia filem.




"Tidak sangka, gandingan tiga pelakon mantap itu berjaya mencipta fenomena baharu kepada industri perfileman negara ketika itu. Ia kenangan yang sangat manis dan dikenang sehingga ke hari ini," katanya.

Ujar Yusof, kegigihan ketiga-tiga selebriti itu sebagai anak seni juga patut dicontohi oleh artis-artis muda sekarang.

"Sebagai artis, kena berani mencuba, tidak boleh terhad kepada satu bidang sahaja. Baik Awie, Ziana mahupun Erra telah membuktikan, percubaan berani mereka tidak sia-sia," katanya.

Selain itu, Yusof juga cukup bangga dengan keazaman yang dimiliki Awie sendiri selaku penerbit konsert teaterikal tersebut. Awie telah memperuntukkan wang lebih RM1 juta bagi menjayakan teater terbitan syarikat miliknya, Awie Entertainment itu.

"Seronok sebenarnya melihat mereka bekerja bersama semula dan Awie melangkah ke satu dimensi baru selaku penerbit. Detik gemilang itu dikembalikan semula, seperti satu reunion oleh Awie sendiri. Memang inilah yang ditunggu-tunggu oleh peminat yang membesar dengan filem Sembilu," kata Yusof.

Yusof juga turut memberitahu dia tidak sabar untuk hadir menonton konsert tersebut. Beliau akan membeli sendiri sendiri tiket dan mengajak keluarga serta pekerja Skop Production menyaksikannya, sebagai menyokong usaha Awie dan rakan-rakannya itu.
Previous Post Next Post