Captain America lebih aksi



BAGI anda yang mengikuti komik Marvel dan filem-filem keluarannya, Captain America: The Winter Soldier pasti menjadi salah satu filem yang amat dinanti-nantikan.

Namun, bagi anda yang barangkali tidak pernah mengikuti filem yang diadaptasi dari komik Marvel seperti filem pertama Captain America atau pun The Avengers, maka anda berkemungkinan besar menghadapi masalah memahami cerita silam Steve Rogers di dalam filem kali ini.

Ini kerana, hanya sedikit imbas kembali dimasukkan di dalam filem ini dan selebihnya adalah persoalan yang berlaku di dalam Shields.




Namun menariknya, dalam filem ini, anda tidak lagi disajikan dengan kuasa pelik melainkan perisai yang digunakan, anda pastikan akan merasa berdebar setiap kali melibatkan babak-babak aksi.

Apatah lagi dengan menggabungkan idea dua pengarah iaitu Anthony Russo dan Joe Russo maka anda akan melihat sebuah hasil yang cukup bombastik!

Bukan itu sahaja, di dalam filem ini, anda akan melihat bagaimana Captain America melawan dengan musuh yang juga kisah silamnya membuatkan di sebalik aksi-aksi yang dipaparkan ada satu emosi yang mampu meruntun jiwa.

Pencarian dan usaha Steve bersama Black Widow merungkai segala misteri di dalam filem ini juga akan memberi anda kejutan demi kejutan yang tidak di sangka. Seperti biasa, segala persoalan hanya akan terungkai di kemuncak dan pengakhiran jalan cerita.


Hasil memuaskan

Bukan itu sahaja, dengan suntikan Imej Janaan Komputer (CGI) di dalam filem ini akan membuatkan anda berada cukup kagum.

Sinematografi juga nampak lebih kemas dan menarik berbanding filem sebelum ini, begitu juga dengan kesan bunyinya.

Biarpun tidak melibatkan banyak kemusnahan seperti di dalam filem The Avengers, namun sekuel kali ini tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.



Lakonan mantap!

Lakonan mantap barisan pelakon seperti Chris Evans, Scarlett Johansson, Samuel L. Jackson sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Apatah lagi, dengan dibantu oleh Sebastian Stan, Anthony Mackie, dan Cobie Smulders, menjadikan setiap karakter berjaya ditonjolkan dengan baik tanpa membayangi karakter yang sedia ada.

Kehadiran Stan tentu sekali akan menarik perhatian ramai untuk filem Captain America yang seterusnya.

Justeru, bagi anda yang masih belum menonton filem ini, jangan lepaskan peluang untuk berbuat demikian dan nasihat penulis, jangan keluar panggung sehingga tamat, 'ending credit'!
Previous Post Next Post