Ceritera popular Azlee Khairi, Zara Zya


NAMA Azlee Khairi dan Zara Zya melonjak naik selepas membintangi drama Love You Mr Arrogant.

SUATU ketika dahulu, nama Azlee Khairi dan Zara Zya, kedengaran cukup asing dalam industri hiburan. Bintang mereka tidak cukup bersinar. Terang atau malap, kehadiran mereka sekadar menjadi latar dalam industri.

Melihat kepada wajah, mungkin ada antara kita yang pernah melihat kelibat lakonan mereka di kaca televisyen.

Mana tidaknya, karier masing-masing bergelar pelakon bukanlah baharu.

Seperti Zara Zya, dia sudah 10 tahun berlakon, manakala Azlee pula mula berjinak sebagai pelakon tambahan sejak enam tahun yang lalu.




Ketika itu, kehadiran mereka seolah-olah tidak begitu menonjol. Jika ada yang mengecam wajah mereka sebagai pelakon pun, mungkin sekadar kenal rupa, bukan pada nama.

Segala-galanya berubah apabila Azlee dan Zara diberi keyakinan untuk menggalas watak dalam drama bersiri Love You Mr. Arrogant.

Bertitik tolak daripada drama berkenaan, si pemilik nama sebenar Azlee Khairi Zulah Hainee, 25, dan Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 29, semakin dikenali ramai. Apa yang penting, dua nama itu dikenali kerana lakonan mereka, bukan kerana kontroversi.

Bersandarkan naskhah yang diadaptasi daripada novel itu, dua pelakon itu melakar nama tersendiri menerusi drama 26 episod arahan Eoon Shuhaini itu.

Menganggap peluang yang diraih sebagai satu rezeki dalam meneruskan perjalanan karier seninya, Azlee dan Zara memanjat kesyukuran dengan apa yang diterima. Baru-baru ini mereka menerima Anugerah Pasangan Hero dan Heroin Pilihan menerusi penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur.

Sensasi Bintang mendapatkan reaksi dua pelakon ini yang berkongsi cerita mengenai populariti yang diraih mereka secara mengejut.

Sensasi Bintang: Apa yang kalian boleh katakan mengenai Love You Mr. Arrogant?

AZLEE KHAIRI (A): Saya anggap ia sebagai satu rezeki. Saya akui, ia merupakan satu naskhah yang baik. Ia juga disokong dengan jalan cerita yang cukup menarik. Gabungan cerita dan pelakon memang memainkan peranan untuk mengangkat satu-satu drama itu.

ZARA ZYA (Z): Bagi saya sendiri cerita itu memang buat orang kenal siapa Zara. Memang waktu mula-mula dapat tawaran itu, saya agak risau apabila diberikan watak utama. Ya lah, bimbang juga tentang penerimaan penonton terhadap drama itu. Tapi, alhamdulillah, sewaktu awal tayangan maklum balas yang diberikan amat baik. Itu yang membuatkan kami lebih bersungguh-sungguh untuk berlakon sebab waktu ditayangkan itu, penggambaran masih lagi belum habis sepenuhnya.


AZLEE sudah terlibat dalam industri lakonan sejak enam tahun yang lalu.

Adakah kalian tidak berasa terkilan selepas bertahun-tahun baru popular?

A: Saya bermula dengan kerja-kerja di belakang tabir, kemudian jadi pelakon tambahan untuk beberapa buah drama. Bagi saya, tempoh bertahun itu bukan satu ukuran tepat. Apa yang penting ialah komitmen dan mutu lakonan yang diberikan dalam setiap kerja yang kita lakukan.

Z: Penghujung tahun lalu hingga awal tahun ini merupakan tahun rezeki untuk saya. Macam saya sendiri, sudah 10 tahun dalam industri, cuma mungkin inilah waktunya untuk orang mengenali saya. Setiap orang ada rezeki masing-masing. Mungkin sekarang baru ada rezeki saya. Biarpun lepas 10 tahun baru orang kenal saya, saya tak kisah. Sekurang-kurangnya orang mahu terima saya daripada tak boleh terima langsung.

Bagaimana pula dengan kehidupan yang kalian lalui selepas meraih populariti?

A: Bagi saya perkara ini dah jadi satu lumrah. Orang akan mula ambil kisah pasal kita selepas dikenali. Kalau dahulu nak lalu depan rumah pun tak ada, sekarang ini tiba-tiba terus muncul asyik nak lalu depan rumah. Yang mana tak pernah telefon, tiba-tiba ada sahaja yang mengaku kata kawan lama. Walhal, sebelum ini tak pernah pula berhubung. Tapi, saya tak kisah semua itu, saya jenis lebih suka berdiam.

Z: Dahulu rasa bebas sikit, nak keluar ke mana-mana pun tak kisah. Sekarang, orang dah mula kenal saya. Ada yang tak pernah bertegur tapi kini alhamdulillah bertukar jadi ramah mulut.

Bagaimana anda hadapi perubahan hidup sebagai individu yang menjadi perhatian umum?

A: Saya masih sama seperti diri saya yang dulu. Macam lagu Tegar, Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang. Tak ada apa yang perlu saya ubah. Kalau dahulu saya keluar pakai jean dan baju-T sahaja, kini saya masih lakukan perkara yang sama. Rutin saya sama sahaja. Jika tak ada job saya akan lebih suka duduk di rumah. Kalau keluar pun pergi ke gimnasium. Saya masih anggap populariti saya sama sahaja macam dahulu.

Z: Nama saya naik selepas sebuah drama meletup. Tapi saya tidaklah terkejut sangat dengan populariti yang saya terima. Mungkin sebab saya sudah 10 tahun dalam dunia lakonan. Pengalaman buat saya boleh terima semua ini yang saya anggap satu rezeki. Tapi, jika sudah dikenali, penampilan apabila berada di luar itu saya titik beratkan juga, biar sedap sikit mata orang memandang.


ZARA menganggap pembuka tirai tahun 2014 sebagai pintu rezeki dalam meneruskan perjalanan karier seninya sebagai seorang pelakon.

Apakah yang anda boleh katakan jika anda hanya popular sekejap sahaja dan kemudian tenggelam?

A: Dalam industri kita ini populariti itu memang penting. Tapi bukanlah sekadar populariti semata-mata. Bagi saya populariti itu biarlah berpada-pada. Apa yang lebih penting ialah mutu lakonan seseorang itu. Kalau popular tapi tak boleh berlakon pun tak guna juga. Saya sendiri pun masih lagi cuba untuk memperbaiki lakonan supaya jadi lebih baik.

Z: Biarlah orang kenal saya kerana bakat yang saya ada. Itu yang penting. Realitinya, kalau bergelar artis populariti itu tak dinafikan ia memang perlu, tapi biarlah dengan cara yang betul bukan cara kontroversi. Kalau kerana bakat, insya-Allah rezeki itu sentiasa ada. Setakat ini, alhamdulillah, anugerah yang diterima buktikan yang saya bukan naik kosong begitu, tapi diiktiraf dan boleh diterima umum. Semua orang ingin terus kekal.

Apabila sudah popular, secara tidak langsung ia akan melibatkan isu bayaran kepada artis. Apa komen anda?

A: Saya mula berlakon dahulu pun dengan bayaran RM50 sahaja. Bagi saya harga itu boleh dirunding mengikut kesesuaian watak yang diberikan dan komitmen masa.

Z: Kalau sebut pasal harga pun, masih sama, tidak ada nak letak harga yang tinggi. Semua itu bergantung pada peranan yang diberikan. Semua itu boleh dibincangkan.
Previous Post Next Post