SABTU lalu, suasana meriah di dalam Auditorium 1, Universiti Antarabangsa UNITAR, Kelana Jaya, Selangor bertukar sedikit bungkam tatkala kelibat pelakon tinggi lampai, Diana Danielle masuk ke ruang acara sambil diiringi oleh adik iparnya, Fadzil Zahari.
Tidak hanya tampil berdua, ekor mata puluhan tetamu yang hadir pada majlis tayangan amal filem animasi SuperSquad anjuran Netcarbon Sdn. Bhd. itu tertancap kemas pada susuk tubuh bayi lelaki yang sedang dikendong erat oleh Fadzil.
Bayi kecil itu ialah Muhammad, anak sulung Diana dan suaminya, pelakon Farid Kamil yang kini berusia sembilan bulan. Itu merupakan kali pertama Diana membawa cahaya mata kesayangannya menghadiri majlis rasmi yang melibatkan kehadiran pihak media.
Namun begitu, apabila menyedari lampu denyar jurufoto mula menyimbah untuk merakamkan detik-detik kehadiran mereka, Fadzil dilihat bergegas membawa Muhammad keluar meninggalkan auditorium tersebut sebelum majlis yang dihadiri mereka tamat.
Ketika meminta untuk bergambar bersama Muhammad usai majlis itu, Diana, 23, memohon maaf kerana dia belum bersedia untuk membuka ruang kepada anaknya muncul di mana-mana media.
Tidak selesa
"Minta maaf banyak-banyak. Saya bukan membawa Muhammad 'lari' daripada media. Saya cuma tidak selesa apabila jurufoto mula merakamkan gambar kami bertiga sebentar tadi," ujarnya sambil tersenyum.
"Apabila tiba masa yang sesuai, saya dan Farid pasti akan mengumumkannya kepada pihak media," kata pelakon yang pernah popular menerusi filem muzikal Magika itu.
Ditanya mengapa membawa Muhammad bersama ketika menghadiri majlis rasmi sedangkan dia enggan untuk mempertemukan anaknya itu dengan pihak media, jawab Diana, dia terpaksa berbuat demikian kerana tiada sesiapa yang dapat menjaga anaknya ketika itu.
"Saya terpaksa membawa Muhammad bersama kerana pengasuhnya sedang bercuti.
FIGURA jelita ini menghidupkan karakter Elly dalam filem animasi, SuperSquad.
"Sepatutnya Farid yang mengambil alih tugas penjagaan tetapi kebetulan dia diserang demam.
"Justeru, saya terpaksa membawanya bersama bagi menghadiri majlis tayangan amal filem SuperSquad," kata Diana yang turut menjadi salah seorang pelakon yang meminjamkan suara bagi filem animasi tersebut.
Kehidupan seimbang
Sejak bergelar ibu, kehidupan wanita berdarah kacukan Melayu-Amerika ini ternyata jauh berubah.
Lebih menumpukan perhatiannya pada Muhammad, Diana mengakui dia banyak menghabiskan masanya di rumah jika tidak terlibat dengan sebarang penggambaran.
"Jika tiada sebarang tawaran berlakon atau tugasan untuk mempromosikan filem, saya lebih gemar untuk menghabiskan masa bersama Muhammad di rumah.
"Kadangkala, saya akan membawanya keluar untuk bersiar-siar. Hubungan saya dan anak saya sangat rapat.
"Saya akui, kehidupan saya dan Farid banyak berubah sejak bergelar ibu dan bapa.
"Jika kami mengalami perselisihan faham, kami tidak akan memanjangkan sengketa kerana sering memikirkan tentang anak.
"Secara keseluruhan, kehidupan kami sebagai pasangan suami isteri semakin seimbang dengan kehadiran Muhammad," jelasnya yang kehilangan berat badan kerana sibuk melayan karenah Muhammad yang semakin aktif bergerak.
Sebagai seorang ibu muda, Diana memberitahu, dia banyak membaca buku, majalah serta info-info yang terdapat di internet bagi menambah pengetahuannya tentang kanak-kanak.
LENSA kamera Kosmo! sempat merakamkan detik kandid ketika Diana baru tiba ke majlis tayangan amal filem amimasi, SuperSquad bersama anaknya dan adik iparnya, Fadzil.
"Maklumat-maklumat yang terdapat dalam buku serta majalah banyak membantu saya dalam rutin menjaga anak saya.
"Selain itu, saya ada meminta pendapat kenalan-kenalan yang lebih senior tentang cara mereka menjaga anak," katanya yang menggunakan khidmat pengasuh daripada Filipina untuk menjaga Muhammad.
Debat Twitter
Baru-baru ini, menerusi akaun Twitter peribadi miliknya, Diana ada menyatakan pendapat tentang misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Menerusi kemas kini tersebut, ujar Diana, dia tidak percaya bahawa juruterbang pesawat itu ada kaitan dengan kehilangan pesawat yang telah hilang sejak 8 Mac lalu.
Malangnya, salah seorang pengikut akaun Twitternya membidas pendapat tersebut dengan kenyataan-kenyataan yang kurang enak didengar.
Terpukul dengan kenyataan itu, Diana bertindak membalas kata- kata pengikutnya itu sehingga menimbulkan pergaduhan.
"Saya hanya menulis di Twitter bagi meluahkan pendapat saya sahaja tetapi dengan tidak semena- mena, ada segelintir individu yang marah dan tidak berpuas hati dengan pendapat itu.
"Itu hanya pendapat saya sahaja. Jika dia berasa juruterbang itu bersalah, itu adalah hak dia. Jangan pula memaksa saya untuk bersetuju dengan pendapatnya," katanya.
Tambah Diana, pengikut akaun Twitternya itu bersikap biadab dan kedengaran seperti mahu menjatuhkan hukuman kepada juruterbang tersebut.
"Saya berasa tercabar apabila membaca kenyataan-kenyataan tersebut.
"Bayangkan perasaan ahli keluarga juruterbang itu jika mereka membaca tentang berita-berita dan kenyataan yang kurang sahih berkenaan tragedi ini. Ia pasti menyedihkan.
"Selain itu, sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berasa terkesan dengan tuduhan yang dilemparkan oleh media Barat terhadap juruterbang kita.
"Jadi, tidak menjadi suatu kesalahan bagi saya untuk mempertahankan maruah negara sendiri daripada diperkotak-katikkan," katanya lagi.
Pinjam suara
Melanjutkan perbualan pada petang itu, Diana berkata, filem animasi yang meminjam suaranya, SuperSquad merupakan sebuah projek yang belum pernah dicubanya sebelum ini.
Katanya, selain pertama kali menjadi pelakon suara, dia turut mempelajari beberapa perkara baharu sepanjang proses pembikinan filem animasi tersebut.
"Filem animasi terbitan Netcarbon Sdn. Bhd. ini mula dibikin pada tahun 2011.
"Pada waktu itu, proses memasukkan suara (dubbing) dilakukan terlebih dahulu sebelum proses melukis watak-watak animasi.
"Ia merupakan perkara yang baharu buat saya dan para pelakon yang lain.
"Sebelum ini, kita akan berlakon terlebih dahulu sebelum menjalani proses memasukkan suara.
"Namun, untuk filem SuperSquad, kami perlu merakamkan suara terlebih dahulu bagi memudahkan pelukis animasi mencipta watak berdasarkan dialog yang dilontarkan," kata Diana yang meminjamkan suara untuk watak Elly.
Walaupun industri perfileman negara ketika ini masih tidak serancak dahulu, namun Diana yakin bahawa filem ini mampu menarik perhatian penonton, terutamanya daripada golongan kanak-kanak.
"Sebelum dibikin untuk tayangan di pawagam, SuperSquad terlebih dahulu telah diterbitkan dalam bentuk siri yang disiarkan di televisyen berjudul Supertots.
"Justeru, dengan adanya kehadiran suara-suara pelakon popular seperti Aaron Aziz, Radhi Khalid dan Dafi serta ditambah dengan penonton yang sedia ada, filem ini mampu untuk berdiri dengan sendirinya," ujar Diana positif.
Filem arahan Mohd. Rashdan Ramlee yang menelan belanja sebanyak RM6 juta ini dijangka menemui penonton pada 5 Jun depan.
ARTISMELETOP: Rasanya tak perlu kot nak sorok-sorok. Main sorok-sorok best jugak ni hahah