Jamal Abdillah letak sempadan



PENYANYI berusia 54 tahun ini mengaku menjaga nilai eksklusifnya bagi kekal relevan dalam industri.

PENYANYI terkenal Datuk Jamal Abdillah, 54, mengaku dirinya cukup menjaga nilai eksklusif untuk terus kekal popular dan relevan sehingga hari ini.

Selain kurang muncul di tempat awam, Jamal juga tidak terlalu ghairah untuk memuat naik sebarang status mahupun gambar dalam akaun laman sosialnya.

Bukan buta IT mahupun teknologi tetapi tegas pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali itu, dia harus meletakkan sempadan antaranya dan peminat, tidak seperti artis sekarang yang dilihat terlalu mudah untuk didekati.

Kata bapa kepada Osama Yamani, 12, dan Ahmad Zaki Yamani, 8, itu, keghairahan artis untuk terlalu dekat dengan peminat membuatkan nilai eksklusif artis tersebut jatuh.

Selain itu, Jamal juga menegur ramai penyanyi muda hari ini tidak ikhlas untuk menjadi penyanyi seperti penyanyi yang lahir pada zamannya.




Ikuti temu bual Kosmo! bersama Jamal yang ditemui pada majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha Antarabangsa bersama Datuk Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

ARTISMELETOP!: Mengapakah Jamal meletakkan sempadan dengan peminat?

JAMAL: Saya letak sempadan untuk kekal popular dan sentiasa relevan dengan pasaran walaupun saya sudah berusia. Bukanlah saya sombong dengan peminat tetapi bagi saya sempadan itu perlu apabila kita tinggal di dunia tanpa sempadan, sekarang menerusi telefon pun semuanya boleh dilihat.

Maknanya Jamal menolak kewujudan laman sosial?

Bukanlah menolak sebab saya sendiri pun ada akaun laman sosial cuma diuruskan oleh orang yang saya percayai. Laman sosial bagus untuk saya mempromosikan persembahan dan peminat mengetahui perkembangan saya.

Namun, jika artis buat silap, laman sosial itu akan memakan diri apabila menjadi medan orang ramai mengutuk artis itu. Jika sudah bersedia dengan segala kemungkinan bolehlah tetapi saya tidak mahu ambil risiko.

Bagaimanapun, saya percaya kalau peminat jarang bertemu artis pujaannya, mereka lebih teruja apabila berjumpa atau menonton persembahannya.


JAMAL bakal beraksi bersama pelawak terkenal, Dee di PWTC pada 22 April depan.

Adakah itu rahsia Jamal popular sehingga kini?

Ya, kerana sudah lama saya amalkan. Sebagai penyanyi lama, saya harus menjaga nilai eksklusif. Saya jarang keluar rumah jika tiada persembahan, jarang mengambil persembahan yang boleh ditonton secara percuma, jarang muncul dalam program televisyen dan juga jarang memuat naik status atau gambar di laman sosial. Apabila peminat tidak dapat berinteraksi atau menonton persembahan saya di tempat lain secara percuma, mereka tidak ralat membayar untuk menyaksikan persembahan saya. Alhamdulillah, tawaran persembahan pentas tidak pernah putus.

Mengapakah Jamal mengatakan penyanyi sekarang tidak ikhlas apabila menyanyi?

Disebabkan terlalu banyak program realiti nyanyian sejak kebelakangan ini, ramai penyanyi realiti yang muncul. Ada yang benar-benar bagus tetapi ramai yang menyanyi tidak ikhlas. Apabila muncul di atas pentas mereka menyanyi untuk kamera, juri dan penonton bukannya untuk diri mereka sendiri. Jika menyanyi dengan ikhlas untuk diri sendiri secara tidak langsung cara nyanyian itu akan menyentuh perasaan semua yang mendengar.

Apakah nasihat Jamal untuk penyanyi baharu?

Jangan buat kerja sambil lewa dan selalu buat kajian sebelum persembahan. Apabila menyanyi tidak kiralah di mana sahaja, menyanyilah dengan ikhlas dan penuh perasaan. Harus diingat kita mungkin akan dipanggil menyanyi oleh salah seorang penonton yang sedang menonton persembahan kita. Jadi, menyanyi dengan bersungguh bukan semata-mata untuk wang sahaja.

Khabarnya Jamal sangat sibuk pada bulan April sempena Minggu Setiausaha?

Alhamdulillah, saya mempunyai tiga persembahan untuk Minggu Setiausaha dan satu persembahan Hari Ibu. Setiap persembahan saya adalah berbeza. Di Kuala Lumpur, saya akan adakan persembahan Minggu Setiausaha bersama Dee di Dewan Merdeka, PWTC pada 22 April depan.

Meja dijual antara RM2,000 sehingga RM5,000 ke atas. Sebarang tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-2614 6701 atau layari laman web www.pwtc.com.my.

Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi?

Kehidupan saya seperti biasa, masih selesa dengan status duda selama 10 tahun. Sebelum ini gosip yang mengaitkan saya dengan Nas Adila itu tidak betul kerana dia terlalu muda untuk saya. Jika ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, saya terima tetapi buat masa sekarang biarlah saya sibuk dengan kerja dan anak-anak.
Previous Post Next Post