Legenda Dol Said ke pentas teater


DATUK ROSYAM NOR turut diintai penerbit Monodrama Teater Legenda Datuk Dol Said.

DATUK Jalaluddin Hassan, Datuk Rosyam Nor dan Awie antara calon pilihan untuk mengemudi Teater Monodrama Legenda Datuk Dol Said yang dijadualkan ke pentas teater pada 15 hingga 18 Mei nanti.

Menurut pengarah teater monodrama itu, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman, ketiga-tiga calon yang dicadangkan itu mempunyai kredibiliti tersendiri untuk melakonkan empat karakter dalam pementasan berdurasi kira-kira 1 jam 45 minit itu.

"Teater monodrama hanya memerlukan seorang pelakon yang akan memainkan empat karakter berbeza iaitu Gabenor British Tanah Melayu R. Ibbetson, Syed Shaban, isteri Dol Said dan Dol Said sendiri," katanya yang ditemui pada majlis pra pelancaran Teater Monodrama Legenda Datuk Dol Said di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.




Bagaimanapun, lokasi pementasan teater monodrama terbitan produksi Warisan Naning Resources dengan kerjasama Geliga Merah Opera itu masih dirahsiakan.

Teater monodrama tersebut mengisahkan perjuangan kerajaan Naning, Negeri Sembilan sewaktu pemerintahan Dol Said sehingga berlaku peperangan dengan British sekitar tahun 1832 yang dinamakan Perang Naning.

"Konflik yang berlaku melibatkan fakta sejarah perlu disampaikan dengan teliti, menerusi pementasan ini kami mengharapkan informasi yang disampaikan lebih mudah diterima.

"Kerana itu nilai-nilai komersial akan diselitkan sepanjang pementasan berlangsung. Semoga teater monodrama ini akan memperkenalkan sejarah dan perjuangan Naning kepada golongan muda," ujarnya yang mengambil inspirasi kejayaan Teater Monodrama Rebab Berbisik tiga tahun lalu.
Previous Post Next Post